Gaya hidup digital dan ekosistem SalamWeb

Kekal taat kepada Islam dalam talian © salamweb.com

Era teknologi digital akan terus berkembang dengan pantas di seluruh dunia tanpa dapat kita tahan.  Setiap saat, ada sahaja perkakasan baharu yang dicipta seiring dengan kehendak dan keperluan pengguna dan kepesatan ekonomi semasa.

Kemajuan teknologi komunikasi membantu memudahkan banyak urusan. Apatah lagi dalam normal kehidupan kita yang sudah berubah selepas pasca COVID-19.

Malaysia teratas di Asia Tenggara dalam media sosial mudah alih

Dengan adanya capaian internet berkelajuan tinggi, kita dapat mencorak lanskap kerjaya yang lebih efektif di semua sektor pembuatan, perkhidmatan profesional, penyajian, hartanah dan pembinaan, logistik serta peniaga dan pengedar.

Sebagai seorang Muslim, kita harus melihat perkembangan teknologi komunikasi dari sudut yang positif. Ia boleh dijadikan medium untuk menyebarkan dakwah  kepada lebih ramai umat manusia, khususnya golongan muda berumur antara 20 hingga 45 tahun.

Kajian menunjukkan bahawa Malaysia menduduki kelompok kelima tertinggi di dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara dalam penembusan media sosial mudah alih. Menurut Hootsuite dan We Are Social dalam laporan terkini Digital 2019, penembusan internet di Malaysia kini pada tahap 80%. Pengguna internet meluangkan purata lapan jam lima minit sehari secara dalam talian.

Laporan juga mendapati rakyat Malaysia melayari media sosial selama dua jam 59 minit sehari. Malahan, Malaysia menduduki tempat keempat dunia dalam penembusan sosial mudah alih. Malaysia juga mempelopori negara di Asia Tenggara, termasuk Singapura, di tangga keenam, diikuti Thailand (lapan) dan Filipina (10).

Kemahiran menggunakan laman sosial baharu untuk berdakwah

Internet telah mengubah cara rakyat Malaysia membeli-belah dan berurusan dalam dunia perniagaan. Malaysia menawarkan peluang perniagaan yang unik, dengan 75% pengguna internet membelanjakan wang mereka untuk e-dagang, manakala 58% membelanjakan wang untuk platform dagang mudah alih.  Masyarakat mula yakin dengan penggunaan internet sebagai sumber utama dalam dunia perbankan.

Umat Islam perlu menguasai ilmu dan meningkatkan kemahiran menggunakan laman sosial baharu untuk berdakwah.  Dalam al-Quran, kalimah dakwah ditemukan 198 kali sebagai membuktikan kewajipan dakwah tidak berlaku secara berkelompok tetapi meliputi setiap Muslim.

Gerak kerja dakwah melalui tekno dai dan dakwah siber boleh membantu penyampaian mesej dakwah secara berkesan.  Hari ini, dakwah tidak hanya terhad kepada seruan secara lisan tetapi juga perlu menggunakan media baharu asal sahaja ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada kalangan kamu yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara baik, serta melarang daripada segala yang salah.  Dan mereka yang demikianlah orang yang berjaya.”

(Surah al-i Imran, ayat 104)

Kemunculan SalamWeb iaitu ekosistem patuh Muslim yang telah menembusi 197 buah negara di dunia dilihat dapat mendekatkan masyarakat dengan penggunaan internet sambil memelihara ketakwaan terhadap Islam.  Semoga lebih ramai yang menyokong SalamWeb sebagai agen dakwah.