Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Genosid Rohingya: BROUK tolak laporan Suruhanjaya Siasatan Bebas Myanmar

Isu Rohingya
Isu Rohingya © Bundit Minramun | Dreamstime.com

Pertubuhan Rohingya Burma United Kingdom atau BROUK telah menidakkan laporan terbitan Suruhanjaya Siasatan Bebas Myanmar (ICOE) yang merumuskan bahawa tiada bukti genosid ditemui, walaupun ada bukti kukuh bahawa jenayah perang telah dilakukan oleh segelintir pasukan keselamatan Myanmar.

Dalam satu kenyataan oleh wakil BROUK, Tun Khin menyatakan bahawa laporan penuh yang masih belum diketahui umum itu nampaknya adalah satu lagi percubaan untuk membersihkan imej disebalik tindakan keganasan Tatmadaw (angkatan bersenjata Myanmar) terhadap kumpulan etnik Rohingya. Menurut Tun Khin, laporan ini jelas menunjukkan yang pihak berkuasa Myanmar mahu menyembunyikan genosid Rohingya.

Tun Khin berkata, ICOE memang bermasalah sejak dari mula lagi di mana ia dilihat sebagai ketiadaan mandat dan kebebasan. ICOE mengumpamakan yang penganiayaan oleh pasukan keselamatan Myanmar hanyalah perbuatan segelintir anggota tentera. Laporan itu tidak menyalahkan pegawai kanan tentera Myanmar, termasuk Panglima Tertinggi Jeneral Kanan Min Aung Hlaing yang dilihat terkait dengan jenayah genosid tersebut. Ini termasuk isu pegawai Tatmadaw yang didakwa melakukan jenayah tetapi mungkin dibicarakan di mahkamah tentera yang tidak telus dan bebas.

Beliau menambah mengenai mahkamah tentera itu yang telah memenjarakan tujuh anggota tentera yang terlibat membunuh orang awam etnik Rohingya di Kampung Inn Din pada 2017,  tetapi telah diberi pengampunan dan dibebaskan dalam masa setahun. Sementara itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dijangka mengumumkan Khamis ini, sama ada akan mengenakan tindakan sementara ke atas Myanmar. Tindakan dijangka berbentuk injunksi yang melarang Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya.

Tun Khin berpendapat Myanmar telah lama menunjukkan yang ia tidak boleh dipercayai dalam menyiasat diri sendiri. Badan-badan bukan kerajaan pada masa lampau yang memperjuangkan isu genosid Rohingya juga terus gagal dalam menegakkan keadilan. Namun, beliau berharap adanya sedikit dorongan yang baik dari segi keadilan antarabangsa. Adalah  diharapkan, ICJ akan mengemukakan tindakan keras jangka pendek ke atas Myanmar, dan seterusnya mengarahkan pemberhentian tindakan genosid terhadap etnik Rohingya.