Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Ghaania Tonjol Rekaan Bertema “Whimsical” Pada KLFW 2019

Stail Nor Syariza Tahir 30-Sep-2019

Koleksi Ghaania yang mengetengahkan tema Whimsical pada rekaan-rekaannya merupakan salah satu jenama fesyen yang mendapat perhatian ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019 atau KLFW2019 berlangsung baru-baru ini.

Menampilkan 18 looks yang segar dan mempunyai gaya tersendiri, Ghaania menonjolkan elemen rekaan yang majestic, misteri dan anggun, bersesuaian dengan temanya yang diinspirasikan daripada Alice In Wonderland.

Ternyata, ia berjaya membawa penonton untuk menyelami ‘dunia WonderlandGhaania dengan rekaan-rekaan polka dot klasik serta kolar ruff dengan sentuhan moden yang segar.

Ghaania selain itu turut berkoloborasi dengan produk-produk tempatan seperti Studio Kittuco untuk kelengkapan aksesori.

Mengimbau mengenai bagaimana Ghaania mula membina nama, Ellynur Suhaili yang merupakan pereka fesyen bagi jenama itu berkata, dia membina jenama Ghaania pada tahun 2015 bersama adiknya dengan matlamat untuk membuktikan bahawa dia seorang wanita kuat dan mampu berdikari biarpun bergelar ibu tunggal kepada dua orang anak.

“Saya memulakan Ghaania kerana ingin mempunyai masa saya sendiri untuk menjaga dan membesarkan anak-anak.

“Tidak dinafikan, pada mulanya saya agak bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kerjaya sebagai pereka fesyen di mana saya sering pergi ke China dan meninggalkan anak-anak.

“Tetapi, alhamdulillah saya mempunyai sokongan keluarga yang kuat daripada ibu saya, yang juga merupakan ibu tunggal,” ujarnya.

Ternyata, Ellynur boleh berbangga pada hari ini kerana Ghaania telah berkembang menjadi jenama fesyen tempatan yang mempunyai DNA yang kuat.

Ia pernah berada di pentas berprestij KLFW serta penampilan di pentas antarabangsa seperti Pure London dan Minggu Fesyen Laos.

Foto: Ghaania