Gibraltar, jalan masuk Tariq bin Ziyad menakluk Sepanyol

Eropah Md Wa'iz
Md Wa'iz
Gibraltar, jalan masuk Tariq bin Ziyad menakluk Sepanyol
Masjid Ibrahim al-Ibrahim di Europa Point, Gibraltar dengan latar belakang Jabal Tariq © Leonid Andronov | Dreamstime.com

Panglima Umayyah, Tariq bin Ziyad adalah watak utama yang membawa masuk Islam ke wilayah Semenanjung Iberia yang kini dikenali sebagai Sepanyol dan Portugal.

Tahukah anda, terdapat sebuah kawasan di hujung semenanjung tersebut yang dinamakan sempena nama beliau? Apakah lokasi tersebut?

Mengapa Tariq bin Ziyad datang ke Sepanyol?

Pada tahun 711, Julian yang merupakan putera kepada Raja Visigoth yang baru meninggal dunia telah meminta bantuan penguasa Maghribi, Musa bin Nusayr. Julian yang telah dilucutkan hak sebagai pemerintah Sepanyol telah meminta bantuan Musa bin Nusayr untuk melawan raja Visigoth (kini kawasan barat daya Perancis dan Semenanjung Iberia) iaitu Raja Roderick kerana sifat kejamnya terhadap rakyat.

Musa bin Nusayr telah mengarahkan panglima mudanya iaitu Tariq bin Ziyad bagi melawan Raja Roderick di Semenanjung Iberia. Tariq telah datang ke Semenanjung Iberia menaiki kapal bersama 7,000 orang tentera yang kebanyakannya terdiri daripada orang Barbar, Syria dan Yaman.

Tariq memasuki Sepanyol melalui sebuah kawasan di hujung semenanjung Sepanyol yang mempunyai sebuah gunung besar. Kedatangan beliau memasuki Sepanyol ini ditunggu-tunggu oleh penduduk di sana yang menerima layanan kejam daripada Raja Roderick.

Tariq bin Ziyad dan Pertempuran Guadalate

Tariq bin Ziyad mendapat sokongan daripada kalangan orang Yahudi Sepanyol dan juga orang Kristian yang menyokong Julian. Beliau telah bertempur dengan pasukan Raja Roderick dalam sebuah pertempuran yang disebut sebagai Pertempuran Guadalate.

Walaupun jumlah tentera Islam hanyalah 7000 orang, tentera pimpinan Tariq telah berjaya mengalahkan tentera Raja Roderick dengan mudah walaupun jumlah mereka lebih ramai. Dalam pertempuran tersebut, Raja Roderick sendiri telah terbunuh.

Bermula daripada pertempuran inilah, Tariq telah merintis jalan kemasukan Islam ke Semenanjung Iberia, khususnya Sepanyol.

Gibraltar, gunung ikonik sempena nama Tariq bin Ziyad

Pada awal kemasukan Tariq bin Ziyad ke Sepanyol, beliau telah mendarat bersama pasukannya di sebuah kawasan bergunung di tepi laut. Kini, kawasan tersebut dikenali sebagai Gibraltar.

Perkataan Gibraltar ini sebenarnya berasal daripada nama Arab yang diberikan kepada gunung tersebut iaitu Jabal Tariq. Jabal Tariq bermaksud Gunung Tariq, iaitu gunung yang dinamakan sempena nama beliau.

Ada lagenda yang menyatakan, Tariq telah mengarahkan agar kesemua kapal tenteranya dibakar sejurus mendarat di tepi pantai kawasan gunung ini. Tindakannya ini dikatakan bagi mengelakkan tenteranya lari daripada pertempuran yang akan berlangsung.

Gibraltar kini wilayah British

Pada tahun 1501, Ratu Isabella I telah merebut kembali Gibraltar menjadi hak milik Sepanyol selepas kejatuhan empayar Islam di Sepanyol.

Namun, pada tahun 1704, pihak British telah menakluk Gibraltar daripada kekuasaan Sepanyol ketika Sepanyol berada dalam krisis perebutan takhta. Pada tahun 1713, Sepanyol telah menyerahkan Gibraltar secara rasmi kepada Kerajaan British.

Namun, masih ada beberapa percubaan kecil Sepanyol untuk merebut kembali Gibraltar daripada British pada tahun-tahun kemudian. Tetapi kesemua percubaan tersebut gagal.

Kini, Gibraltar telah menjadi salah satu daripada Wilayah Luar Negara British dengan jumlah penduduk sekitar 32,000 orang.

Tariq merintis jalan kemasukan Islam ke Eropah

Kemasukan Tariq bin Ziyad ke Sepanyol melalui Gibraltar ini merupakan titik tolak kemasukan Islam ke benua Eropah. Kemasukan beliau ke Sepanyol bukan hanya berjaya melawan Raja Roderick, tetapi berjaya menakluk kota-kota lain seperti Toledo dan Cordoba.

Sejak daripada itu, Islam berjaya membina kerajaan di Sepanyol lebih daripada 700 tahun lamanya sebelum jatuh pada tahun 1462 Masihi.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.