Giliran Judika Beraksi di Dewan Filharmonik PETRONAS

Berita baik buat peminat Judika di Malaysia! Penyanyi popular dari Indonesia ini bakal beraksi  live di  Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO) pada hari Sabtu, 19 Oktober 2019 dan Ahad, 20 Oktober 2019 jam 8.30 malam.

Judika merupakan artis Indonesia yang kedua mengadakan konsert solo di dewan berprestij ini selepas Ruth Sahanaya yang mempersembahkan konsert solo pada tahun 2018.

Konsert yang merupakan kolaborasi antara DFP dan Kelab Sukan Dan Rekreasi PETRONAS (KSRP) ini bakal menyaksikan Judika memasuki senarai artis antarabangsa yang telah membuat persembahan di dewan yang terkenal dengan tahap akustika yang tinggi itu.

Antara nama-nama besar yang sudah beraksi di DFP adalah Laura Fygi, Harry Connick Jr., Chris Botti, Diana Krall, Anoushka Shankar dan Larry Carlton, dan artis tempatan seperti Sheila Majid, Ella, Siti Nurhaliza, Yuna, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah.

Konsert ini sejajar dengan matlamat DFP untuk menampilkan artis yang membawakan konsep nuansa muzik yang berlainan untuk menarik khalayak penonton yang berbeza.

Lahir pada tahun 1978, Judika mencipta nama sebagai penyanyi setelah menduduki tempat kedua dalam beberapa pertandingan nyanyian seperti Asia Bagus (1998) dan Indonesian Idol (2005).

Bersama kumpulan acapella, Antero Boys, Judika memenangi anugerah ‘Cerbul de aur song Festival Rumania’ pada tahun 2000. Penyanyi berasal dari Medan ini akhirnya mengeluarkan album perdana berjudul ‘One’ pada tahun 2007. Sehingga kini, Judika telah melahirkan enam album solo dan dua album kompilasi.

Judika mempunyai senarai lagu-lagu hit seperti Bukan Dia Tapi Aku, Cinta Satukan Kita, Aku Yang Tersakiti, Sampai Kau Jadi Milikku dan Jikalau Kau Cinta yang kesemuanya mendapat penghargaan di anugerah berprestij seperti Anugerah Muzik Indonesia dan Anugerah Planet Muzik.

Konsert Judika di DFP akan menyaksikan lagu-lagunya dipersembahkan dalam gubahan orkestra oleh MPO. Di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose, konsert ini akan menampilkan vokalis hebat negara, Jaclyn Victor sebagai artis undangan.

Konsert ini akan menyerlahkan lagi versatiliti MPO dalam mengalunkan bukan hanya genre muzik klasikal Barat tetapi juga pop, jazz dan R&B.

Tiket-tiket dijual pada harga RM888 (Suite), RM588 (Premium) dan RM388 (A Reserve). Pembelian boleh dilakukan menerusi kaunter Box Office atau layari www.mpo.com.my.

Selain itu, anda juga boleh menghubungi talian 03-23317007 untuk tempahan menerusi telefon serta menerusi email di [email protected]

Kredit foto : DFP