Gua Tempurung (1): kembara meneroka gua

Suka Chan Abdullah 07-Nov-2020
dreamstime_s_166824027
Gua Tempurung (1): kembara meneroka gua © Shahrul Affendi A Kadir | Dreamstime.com

Negeri Perak ialah salah satu negeri yang terkenal dengan keindahan alam semulajadi. Keindahan alam semulajadi ini telah menjadikan negeri ini sesuai untuk aktiviti eko pelancongan. Antara lokasi yang menarik untuk eko pelancongan ialah pekan Gopeng.

Baru-baru ini saya dan keluarga berpeluang mengikuti aktiviti eko pelancongan yang terkenal di pekan Gopeng iaitu meneroka Gua Tempurung. Ini telah melengkapkan minggu ketiga berturut-turut dalam jelajah kami meneroka eko pelancongan di pekan Gopeng.

Meneroka  alam semulajadi Gua Tempurung

Pada minggu pertama kami sekeluarga bermalam di Kuala Razila. Kami berpeluang mandi sungai di sana. Pada minggu kedua kami mengambil kesempatan untuk mendaki Bukit Batu Putih. Minggu ketiga ini kami sekeluarga melengkapkan aktiviti eko pelancongan kami dengan meneroka keindahan alam semulajadi di Gua Tempurung.

Kami bermula dari Kem Murni di Gopeng. Kami sekeluarga meneroka Gua Tempurung ini dengan empat rakan-rakan yang lain menjadikan kesemuanya 10 orang. Anak bongsu saya merupakan peserta termuda dengan usia lima tahun, manakala rakan saya merupakan peserta tertua dengan usia 55 tahun.

Setelah semua peserta tiba pada waktu yang dijanjikan, kami membuat pendaftaran, pembayaran dan mendengar taklimat keselamatan. Bayaran yang dikenakan adalah RM60 setiap seorang. Bayaran ini merangkumi tiket masuk ke Gua Tempurung dan perkhidmatan dua orang pemandu arah ke Gua Tempurung.

Selesai mendengar taklimat keselamatan, kami menyiapakan diri dengan pakaian keselamatan seperti topi keselamatan. Bagi yang tidak menyediakan lampu suluh kepala, ianya juga turut dibekalkan di sini. Setelah semuanya selesai, kami dibawa menaiki lori mengikuti jalan kampong ke Gua Tempurung.

Empat tahap meneroka Gua Tempurung

Memang bertuah dan bersyukur apabila dapat menikmati keindahan alam semulajadi di samping dapat menghirup udara segar. Bunyi deruan sungai membuatkan anak-anak begitu teruja. Setelah menempuni perjalanan lebih kurang 20 minit dari Kem Murni, akhirnya kami pun tiba di pintu masuk Gua Tempurung.

Sambil berjalan meneroka gua, pemandu arah menerangkan beberapa fakta menarik tentang Gua Tempurung ini. Sebelum ini jalan masuk ke Gua Tempurung perlu melalui jalan sungai, namun kini para pengunjung boleh memasuki gua dengan jalan baharu yang dibina.

Jalan baharu ini dilengkapi dengan pelantar-pelantar dan tangga-tangga besi. Laluan baharu ini mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan. Semua bahan pembinaan ini perlu dibawa oleh tenaga kerja manusia secara manual tanpa bantuan mesin.

Gua Tempurung ini mempunyai empat tahap secara keseluruhan. Para pengunjung tanpa pemandu arah boleh meneroka gua ini sehingga tahap dua sahaja iaitu sehingga platform lima.

Tahap empat memerlukan pengunjung meneroka sehingga ke platform 10. Akhirnya, pengunjung meneruskan perjalanan menerusi jalan sungai sehingga ke hujung gua dan berpatah balik ke pintu masuk menerusi jalan sungai.