Gua Tempurung (2): perjalanan dan ciri-ciri menarik gua

Suka Chan Abdullah 11-Nov-2020
dreamstime_s_125218300
Gua Tempurung (2): perjalanan dan ciri-ciri menarik gua © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Pemandu arah perjalanan memberi penerangan mengenai stalagtit dan stalagmit yang terbentuk di dalam gua. Teringat kembali mata pelajaran Geografi yang dipelajari berpuluh tahun dahulu. Alhamdulillah rezeki, kini boleh menikmati sendiri stalagtit dan stalagmit di hadapan mata sendiri.

Ciri-ciri menarik dalam Gua Tempurung

Bagi pengunjung yang hanya mahu meneroka sehingga ke tahap dua, tidak perlu menyiapkan diri dengan pakaian sukan sebenarnya, pakaian biasa sahaja sudah mencukupi. Namun pastikan kasut yang dipakai tidak licin, kerana keadaan tangga dan pelantar yang agak licin.

Selain pembentukan stalagtit dan staglamit, banyak lagi ciri-ciri menarik yang terdapat di dalam Gua Tempurung ini. Terdapat pelbagai gambar-gambar di dinding gua yang menyerupai haiwan seperti anjing, gajah dan juga wajah perempuan. Semua ini terjadi disebabkan hakisan air tehadap dinding gua,

Pada platform dua, ada lokasi di mana jeritan dan bunyi yang akan bergema dan boleh didengari di platform empat yang berada ratusan meter jaraknya. Tiba di platform tiga pula, anda boleh melihat formasi batuan yang diberi nama ‘golden flowstones’.

Pada platform empat yang diberi nama ‘wind tunnel’ atau terowong angin, anda akan dapat menikmati tiupan dingin. Hanya di platform ini sahaja yang anda akan merasai tiupan angin di dalam gua ini.

Gua ini juga pernah menjadi tempat pelombongan bijih timah. Ini dibuktikan dengan beberapa penemuan alatan melombong bijih sekitar gua ini. Menurut pemandu arah kami lagi, gua ini turut dijadikan tempat pihak komunis menyembunyikan diri pada satu masa dahulu.

Perjalanan dengan lampu suluh, melepasi platform 10

Perjalanan kami seterusnya diteruskan sehingga ke platform lima. Platform ini merupakan platform terakhir untuk pengunjung tanpa pemandu arah. Untuk ke tahap seterusnya kami perlu berjalan menuruni ratusan anak tangga yang curam. Lampu suluh kepala amatlah diperlukan kerana memang keadaan amat gelap dan tiada lagi lampu-lampu disediakan.

Sepanjang perjalanan ke tahap tiga ini, kami dapat lihat beberapa spesies serangga dan juga kelawar mikro yang menjadikan gua ini sebagai habitat mereka. Setelah penat menuruni ratusan anak tangga yang curam akhirnya kami semua selamat sampai ke platform 10. Perjalanan menjadi lebih menarik dan mencabar melepasi platform 10 ini.

Tiada lagi laluan bertangga dan pelantar. Kami perlu menerobosi lubang-lubang kecil dan merangkak di bawah celahan-celahan batu gua untuk tiba ke hujung gua. Kami bertuah kerana mempunyai dua orang pemandu arah yang begitu mengambil berat dan memahami keadaan kumpulan kami yang membawa kanak-kanak.

Setelah berhempas pulas meredah jalan yang sempit dan gelap, akhirnya kami tiba di penghujung gua. Kesempatan ini diambil untuk kami berehat dan mengabadikan kenangan bersama-sama keluarga di Gua Tempurung.