Gua Tempurung (3): kembara yang menakjubkan dan berbaloi

Alam semula jadi Chan Abdullah 14-Nov-2020
dreamstime_s_83917192
Gua Tempurung (3): kembara yang menakjubkan dan berbaloi © Fhaizalmz | Dreamstime.com

Masa berehat nampaknya terpaksa dipendekkan memandangkan keadaan cuaca yang menampakkan tanda-tanda seperti kehadiran hujan yang lebat. Malah kehadiran beberapa kumpulan lain dengan jumlah ahli yang lebih ramai bakal melambatkan perjalanan keluar dari gua.

Perjalanan keluar dari gua lebih mencabar

Akhirnya setelah berbincang dengan pemandu arah, kami akur dan cepat-cepat memulakan perjalanan keluar dari gua. Bukan apa, lebih lama kami berehat dan lambat bergerak, ada kemungkinan kami akan terperangkap dan membahayakan diri akibat paras air mungkin naik secara tiba-tiba jika hujan turun dengan lebat dan berterusan.

Jika perjalanan meneroka gua pada awal tadi agak santai, kali ini dalam perjalanan pulang kami terpaksa lebih pantas mengejar masa kerana bimbang paras air yang boleh naik dengan lebih tinggi pada bila-bila masa. Rancangan asal untuk bermain gelungsur air semulajadi juga terpaksa dibatalkan kerana kekangan masa dan cuaca.

Perjalanan pulang ini menjadi lebih mencabar kerana masing-masing sudah mula keletihan dan juga terpaksa bergerak dengan lebih pantas. Paras air yang semakin tinggi dan juga kehadiran kumpulan lain dengan ahli yang lebih ramai menjadikan laluan keluar semakin sempit dan sukar. Laluan yang dipenuhi batu-batu juga menjadi semakin licin.

Paling menyukarkan apabila terpaksa merangkak dan meloloskan diri dari ruangan-ruangan sempit secara pantas dengan kehadiran ramai orang yang cuba melakukan perkara yang sama.

Ada ketikanya teringat juga akan ceramah-ceramah yang pernah dihadiri dahulu mengenai keadaan di Padang Masyhar nanti. Semua orang berlumba-lumba menyelamatkan diri masing-masing tanpa mempedulikan orang lain.

Mujurlah juga kami mendengar nasihat rakan kami yang sudah biasa meneroka gua. Persiapan awal seperti penyediaan pakaian dan kelengkapan yang sesuai sangat membantu perjalanan kali ini. Cuma kasihankan anak-anak yang sedikit keletihan dan kehausan ketika perjalanan pulang keluar gua kerana bekalan air yang dibawa sudah kehabisan.

Kembara gua yang amat menakjubkan dan berbaloi

Perjalanan pulang keluar gua yang sedikit menakutkan akhirnya berakhir apabila nampak cahaya di hujung jalan. Dalam hati sendiri terasa sedikit sebanyak seperti adegan di dalam filem. Alhamdulillah, semua ahli kumpulan kami dan kumpulan-kumpulan yang lain selamat tiba dan keluar dari Gua Tempurung.

Perjalanan meneroka Gua Tempurung ini sememangnya menarik dan memberikan pengalaman baharu kepada keluarga kami. Malah sepanjang perjalanan tersebut banyak peluang menghayati kekuasaan Allah SWT. Misalnya sungguh menakjubkan apabila kami menjumpai terdapatnya tumbuhan yang hidup di dasar gua walaupun tiada cahaya matahari yang sampai ke dasar gua tersebut.

Selain itu keindahan alam semulajadi yang terdapat sepanjang perjalanan pergi dan pulang dari Gua Tempurung juga benar-benar mengagumkan. Aktiviti percutian eko pelancongan yang kami lalui ini sememangnya berbaloi walaupun setelah habis kembara, badan-badan kesakitan dan kepenatan yang amat sangat.

Bagi anda yang tidak biasa mencuba aktiviti eko pelancongan seperti meneroka gua bolehlah mencuba aktiviti ini. Gua Tempurung ini sememangnya satu destinasi yang patut anda dan keluarga terokai sendiri. Perjalanan kembara ke Gua Tempurung bersama keluarga ini sememangnya menakjubkan.

Walaupun begitu terdapat juga sedikit kekecewaan kerana ada pengunjung yang tidak bertanggungjawab menconteng dinding-dinding gua degan sesuka hati. Seharusnya alam semulajadi ini dipelihara dan tidak dicemari agar generasi masa datang juga boleh menikmati keindahan ini.