Guna lebihan masa untuk mendekati Allah

Kehidupan Hanita Hassan 11-Jun-2020
Sibukkan diri ke arah-Nya © Fakruljamil | Dreamstime.com

Setiap kali kita berasakan diri dengan Allah semakin jauh, ketahuilah yang menjarakkan kita dengan Allah adalah kita sendiri. Kita disibukkan dengan hal-hal keduniaan, menambah harta benda, meningkatkan kerjaya, membina rumahtangga dan anak-anak.  Kita peruntukkan sedikit sahaja ruang waktu untuk beribadat kepada Allah SWT.

Sepertimana yang telah difirmankan Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:  “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.”  (Surah ad-Dzariyat, ayat 56)

Ingatlah bahawa Allah SWT memberikan kita dua nikmat yang tidak ternilai iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang untuk beribadat kepada-Nya. Namun kita tidak menggunakannya sebaik mungkin.  Jangan kita lalai akan tanggungjawab kepada Yang Maha Esa.

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh serta nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”  (Surah al-Asr, 1-3)

Ketaatan dan kecintaan kepada Allah SWT serta Nabi Muhammad SAW ialah kunci syurga kepada setiap Muslim.  Kita digalakkan untuk sentiasa berzikir  dan membaca Al-Quran.  Perbuatan ini adalah sebagai refleksi kepada apa yang ada dalam hati kita.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging.  Apabila ia baik, baiklah seluruh jasad.  Tetapi apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya.  Ketahuilah itu ialah hati.”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam situasi pandemik COVID-19, kita tidak disibukkan dengan kerja-kerja di pejabat kerana kebanyakkan daripada kita sudah mula bekerja dari rumah. Walaupun kita telah dibenarkan melakukan aktiviti sosial di luar, masih ramai yang mengambil pendekatan duduk di rumah untuk mengelakkan jangkitan COVID-19.

Masa yang lapang ini boleh digunakan untuk melakukan amalan ibadah mendekatkan diri dengan Allah SWT.  Semua amalan baik ini dapat membantu pada hari pertemuan kita dengan Allah SWT yang akan dibentangkan kitab amalan.  Ada yang menerima dari tangan kanan, ada juga dari tangan kiri dan ada yang menerima kitab amalnya dari belakang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  “Dan dibentangkan kitab (kitab amalan kita yang selama ini dicatat dengan begitu rapi oleh malaikat yang menjaga di kiri dan kanan kita), kamu akan dapati orang-orang yang berdosa itu gementar ketakutan melihat apa yang ada di dalamnya, dan mereka berkata…celakalah kami, kitab apakah ini, tidak tinggal olehnya perkara kecil atau besar melainkan semuanya dihitung dan mereka dapati apa sahaja yang mereka kerjakan (di dunia) hadir  / nampak di hadapan mereka.”  (Surah Kahfi, ayat 49)

Kata Imam Al Ghazali:  “Rugilah mereka yang sibuk tetapi segala kesibukan mereka hanya untuk dunia sahaja.” Justeru, mari kita saling ingat mengingati agar masa lapang dapat digunakan untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, memperbanyak ibadat dan sentiasa berhati-hati dengan tipu daya syaitan yang begitu halus.