Gunakan harta kita sebaiknya

Kehidupan Hagnas 21-Sep-2020
dreamstime_s_166663326
Gunakan harta kita sebaiknya © Евгений Вершинин | Dreamstime.com

Agama Islam mengajar kita supaya menggunakan harta kekayaan yang dianugerahkan dengan sebaiknya. Terdapat hadis tentang Hari Kebangkitan yang menceritakan bahawa kita akan ditanya tentang harta kita, dari mana harta itu kita perolehi dan ke mana kita belanjakan.

Oleh itu, alangkah beruntungnya jika kita berhati-hati tentang harta kita ini kerana semuanya akan dipertanggungjawabkan. Dari Abu Barzah al-Aslami, Rasulullah SAW bersabda: “Dua kaki seorang hamba tidak akan bergerak (pada hari kiamat) sehingga dia ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan, tentang ilmunya apakah yang telah dilakukan dengan ilmunya, tentang hartanya dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa digunakannya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, 2341)

Terdapat hadis lain yang menerangkan kepentingan infaq dalam kehidupan. Daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya, pada suatu ketika kami sedang dalam perjalanan bersama-sama rombongan Nabi Muhammad SAW, tiba-tiba datanglah seorang lelaki di atas kenderaan, maka ia menoleh pandangannya ke kanan dan ke kiri.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai kenderaan yang melebihi dari keperluan sendiri hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai kenderaan dan sesiapa yang mempunyai lebihan bekalan makanan hendaklah ia bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan.

Selanjutnya, Baginda menyebut berbagai-bagai harta benda hingga kami ketahui bahawasanya tidak ada hak bagi sesiapa daripada kami kadar yang lebih daripada keperluan.” (HR Muslim)

Apabila kita merenung hadis di atas, dapat kita fikirkan  tentang saat mengalami masalah kewangan, kita rasa amat berat, bukan? Namun, sedarkah kita bahawa pada waktu yang sama, ada dalam kalangan kita yang sedang dalam kemiskinan dan tidak mempunyai apa-apa.

Harta kekayaan yang kita gunakan untuk keluarga hanya semata-mata kerana Allah SWT, ia dikira sebagai  sedekah. Abu Mas’ud r.a berkata Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seorang lelaki memberikan nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas, maka (pahala) nafkah itu sama dengan (pahala) sedekah.” (HR Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa sangat besar ganjarannya apabila kita gunakan harta kita untuk keluarga. Mungkin kita menggunakan wang kita untuk keluarga adalah tanggungjawab atau mungkin sudah rutin, namun Allah SWT mengiranya sebagai sedekah dari kita dan perbuatan ini mendapat pahala yang besar dari Allah.

Mudahnya untuk mendapat pahala; sedekah pada yang memerlukan dan juga gunakan wang kita untuk keluarga. Al-Bara’ ibn Azib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mendermakan susu, atau sekeping dirham, atau sesiapa yang membantu meleraikan kekusutan atau masalah saudaranya, maka pahalanya seolah-olah membebaskan hamba.” (Sunan at-Tirmidzi)