Hadiahkan al-Quran kepada tuan rumah

Kehidupan Hanita Hassan 12-Jun-2020
Al-Quran sebagai hadiah © Guernica | Dreamstime.com

Ketika musim perayaan, kita sering menziarahi kaum keluarga terdekat dengan membawa bersama buah tangan atau hadiah.  Biasanya  ia berupa kuih atau biskut raya aneka jenis serta manisan seperti dodol atau wajik.  Namun, pernahkah kita terfikir untuk menjadikan kitab al-Quran lengkap dengan maksud dan terjemahannya sebagai hadiah kepada tuan rumah?

Al-Quran adalah kitab suci yang menjadi rujukan dan panduan umat Islam di seluruh dunia.  Allah SWT menganugerahkan al-Quran supaya kita menjalani kehidupan dunia berpandukan dasar dan nilai yang terkandung di dalamnya.  Tidak kira kecil atau besar, semua isu yang melingkari dunia moden hari ini boleh diselesaikan dengan merujuk kepada al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang menyakini.” (Surah al-Jaatsiyah, ayat 20)

Begitu juga dalam surah an-Naml, ayat satu hingga dua yang bermaksud: “Thaa Siin.  Ini adalah ayat-ayat al-Quran dan ayat-ayat kitab yang menjelaskan untuk menjadi petunjuk dan berita gembira untuk orang yang menyakini.”  (Surah an-Naml, ayat 1-2)

Berdasarkan maksud ayat-ayat Allah SWT itu, jelas al-Quran diturunkan sebagai panduan hidup kepada manusia.  Ia bukan sahaja mencakupi hal-hal ibadat semata-mata tetapi lebih daripada itu.

Sekiranya kita menjadikan naskah al-Quran sebagai hadiah, maka secara tidak langsung kita telah berdakwah kepada tuan rumah agar meneruskan pembacaan al-Quran walaupun selepas Ramadan melabuhkan tirainya.

Melalui amalan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan kalam Allah SWT itu, ia berupaya menjadi inspirasi dan pemangkin semangat  bagi kita mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat.

Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang begitu banyak kepada golongan yang membaca al-Quran sebagai rutin harian mereka.  Bagaimana ukuran banyaknya pahala? Pahala membaca al-Quran bukan  dikira berdasarkan keseluruhan ayat atau surah, tetapi setiap huruf itu diberikan ganjaran dengan 10 pahala.

Abdullah bin Mas’ud r.a. menyatakan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipat gandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Sunan at-Tirmidzi)

Kita bersyukur kerana tergolong dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW penghulu dan penutup sekalian Nabi dan Rasul.   Baginda meninggalkan kita dengan dua perkara iaitu al-Quran dan sunah sebagai panduan hidup.

Meskipun kita adalah umat terakhir, ganjarannya cukup besar. Kita akan dimasukkan ke syurga dahulu berbanding umat sebelumnya.  Kita juga akan menjadi saksi risalah yang disampaikan oleh Rasul terdahulu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat kamu (dua perkara) selagi kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Kitabullah (al-Quran) dan sunah Nabi-Nya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)