Hafiz Papar Kisah Cinta Teragung Dalam Video Muzik

Walaupun drama bersiri ‘Dia Menantu Rahsia’ lakonan Ashraf Muslim dan Raysha Rizrose yang bersiaran di slot Akasia TV3 sudah tamat siarannya pada 7 Mac 2019 yang lalu, lagu tema ‘Kisah Cinta Kita’ nyanyian penyanyi terkenal Hafiz Suip masih menjadi siulan ramai dan semakin mendapat tempat di hati pendengar.

Bagi memenuhi permintaan ramai, Nova Music (M) Sdn. Bhd. (Nova Music) melancarkan video muzik rasmi ‘Kisah Cinta Kita’ arahan pengarah berbakat, Khairul Hazwan.

Video muzik yang menjalani penggambaran di Pulau Redang itu memaparkan visual yang luar biasa apabila mengetengahkan isteri Hafiz sendiri, Nureffy Jesreel dan anak mereka, Riyadh Zafri.

Sebagai lagu runut bunyi yang melatari drama ‘Dia Menantu Rahsia’, pastinya lagu ‘Kisah Cinta Kita’ tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan penceritaan visual dalam plot drama tersebut.

Sebagai pendamping visual yang melengkapi penceritaan sesebuah lagu, lazimnya sesebuah video muzik itu seharusnya cuba merakam setiap nuansa yang terkandung dalam setiap patah lagu itu dalam bentuk visual.

Namun begitu, Hafiz dan pasukan produksi cuba mengambil pendekatan yang lebih universal dalam video muzik rasmi ‘Kisah Cinta Kita’.

“Rata-rata peminat mempunyai terjemahan tersendiri dalam mendalami maksud sesebuah lagu itu.

“Apa yang kami cuba paparkan dalam video muzik rasmi ‘Kisah Cinta Kita’ adalah penceritaan sebuah kisah cinta yang relevan dengan sesiapa pun,” ulas Hafiz yang menyifatkan video muzik ini menjadi pelengkap visual yang tepat kepada single ‘Kisah Cinta Kita’.

Video muzik rasmi ‘Kisah Cinta Kita’ kini boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos bermula 19 April yang lepas.

Single ‘Kisah Cinta Kita’, taruhan terbaharu Hafiz yang berentak balada sudah pun menemui pendengar sejak 8 Mac 2019.

Ia merupakan hasil gubahan komposer, Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali, manakala lirik pula ditulis oleh Datuk A. Aida yang juga penerbit drama ‘Dia Menantu Rahsia’.

Susunan muzik yang membuai rasa dan seni kata yang sarat dengan mesej romantis menjadikan lagu tersebut sangat indah untuk didengari.

Dijiwai pula dengan nyanyian merdu Hafiz yang penuh penghayatan, pastinya ‘Kisah Cinta Kita’ bakal diangkat sebagai antara karya romantis tempatan yang menjadi siulan pasangan yang sedang hangat dilamun cinta.

‘Kisah Cinta Kita’ merupakan single pertama Hafiz di bawah naungan syarikat rakaman Nova Music.

Sejak dimuatnaik di saluran YouTube Nova Music Videos pada 18 Februari yang lalu, video lirik ‘Kisah Cinta Kita’ sudah pun mencapai tontonan melebihi  5 juta.

Foto: Nova Music