Hafsah binti Umar r.a dan suami sebaik-baik manusia

Sejarah Abi Aasim
Abi Aasim
Hafsah binti Umar r.a dan suami sebaik-baik manusia
Hafsah binti Umar r.a dan suami sebaik-baik manusia © Luiza Nalimova | Dreamstime.com

Lima tahun sebelum kenabian Nabi Muhammad SAW, Kota Mekah telah dilanda banjir besar yang juga telah merosakkan Kaabah. Peristiwa itu akhirnya menyebabkan ketegangan di antara pemimpin-pemimpin kafir Quraisy tentang siapa yang berhak meletakkan batu Hajr al-Aswad kembali ke kedudukannya.

Akhirnya Rasulullah SAW menjadi penyelamat dengan penyelesaian penuh berhemah.

Hafsah binti Umar r.a

Sekitar peristiwa itu lahirnya Hafsah binti Umar r.a. Sejak kecil, Hafsah memang sukakan ilmu pengetahuan. Beliau banyak mempelajari ilmu sastera. Beliau juga belajar membaca dan menulis daripada Syifa’ binti Abdullah.

Ketekunannya menjadikan beliau antara salah seorang wanita Quraisy yang sangat fasih dan pandai berbicara, bersenikan sastera yang indah.

Hafsah r.a merupakan puteri kepada Umar al-Khattab, sahabat Baginda Rasulullah SAW. Hafsah telah berkahwin dengan Khunais bin Huzaifah, antara sahabat nabi yang pertama masuk Islam. Usia perkahwinan mereka diuji dengan pelbagai rintangan.

Tentangan hebat puak musyrikin Mekah ke atas Islam memaksa suaminya berhijrah ke Habsyah dan meninggalkan Hafsah r.a di Mekah. Akhirnya setelah Nabi Muhammad SAW mendapat wahyu untuk berhijrah ke Madinah, suaminya turut sama berhijrah dan kali ini membawa Hafsah bersama ke Madinah.

Kali ini mereka dapat hidup dengan lebih tenang di samping golongan Ansar yang membantu gerakan Islam. Besarnya pengorbanan para sahabat bagi menyebarkan agama Islam.

Niat meminang Hafsah r.a sebagai isteri

Panggilan jihad di medan perang benar-benar menguji keimanan. Namun suaminya tidak gentar dan berjuang dengan sepenuh hati demi menegakkan syiar Islam. Serangan bertubi-tubi sewaktu Perang Badar menyebabkan suaminya cedera parah. Walaupun selamat pulang ke sisi Hafsah selepas Perang Badar, hayat suaminya tidak lama.

Reda Hafsah r.a dengan pemergian suaminya. Walaupun begitu Hafsah masih sangat muda ketika itu, sekitar 18-20 tahun. Pemergian suami tercinta itu adalah satu ujian yang sangat menyakitkan buat dirinya. Sedih dan pilu melihat kesedihan puterinya, Umar bertekad mencari pengganti suami buat anaknya.

Umar al-Khattab r.a menawarkan Abu Bakar as-Siddiq r.a untuk mengahwini Hafsah, tetapi Abu Bakar hanya berdiam diri. Tahulah Umar bahawa Abu Bakar keberatan. Sebenarnya Abu Bakar sedang menyimpan rahsia Rasulullah SAW yang berniat untuk meminang Hafsah untuk dijadikan isteri.

Umar r.a tidak berputus asa dan menawarkan Hafsah kepada Uthman bin Affan r.a. Namun Uthman juga menolak kerana kasihnya kepada isterinya Ruqayyah yang juga merupakan puteri Rasulullah SAW. Umar lalu datang berjumpa Rasulullah dan mengadukan kesedihannya. Rasulullah lantas memberikan khabar berita kepada Umar.

Tidak berapa lama kemudian Rasulullah SAW pun datang meminang Hafsah r.a. Sesungguhnya Hafsah telah mendapat ganti suami yang merupakan sebaik-baik manusia. Hafsah telah kembali ke rahmatullah pada usia 63 tahun dan dimakamkan di perkuburan Baqi.