Hagia Sophia kembali menjadi masjid

Hagia Sophia, Istanbul, Turki © Paschalis Bartzoudis | Dreamstime.com

Masya-Allah, setelah 86 tahun, akhirnya Hagia Sophia di Istanbul kembali berfungsi sebagai sebuah masjid. Pencetus utama langkah ini tentulah Presiden Turki, Recep Taayyip Erdogan yang menyifatkan tindakan mengubah Hagia Sophia (atau Ayasofya dalam sebutan Turki) kepada sebuah muzium merupakan satu ‘kesilapan besar’.

Presiden Erdogan telah mengisytiharkan Hagia Sophia sebagai masjid sebulan yang lepas pada hari Jumaat, dengan solat pertama dilakukan dua minggu selepas itu. Katanya, sudah tiba masanya binaan yang menjadi mercu tanda Istanbul itu diubah semula menjadi sebuah masjid.

Sejarah Hagia Sophia

Pembinaan Hagia Sophia bermula pada zaman empayar Byzantine iaitu semasa pemerintahan Empayar Rom Purba. Ia telah siap dibina pada tahun 360 dan dijadikan sebagai sebuah gereja. Hagia Sophia adalah gereja kedua selepas Hagia Eirene.

Orang Rom memberikan nama Magna Ecclesia kepada gereja Hagia Sophia yang merupakan gereja paling besar berbanding gereja lain, sekaligus digelar sebagai Gereja Teragung. Sebahagian Hagia Sophia musnah disebabkan berlakunya Rusuhan Nika selama 3 hari sebelum berjaya dikawal oleh Raja Justinian dan angkatan tenteranya di Constantinople.

Pembinaan semula Hagia Sophia

Disebabkan kejadian yang berlaku itu, Hagia Sophia telah dibina semula dengan skop kerja yang lebih besar dari yang asal. Pembinaan semula gereja tersebut telah menggunakan rekaan lebih indah yang tertumpu pada bumbung rekaan kubah berserta lukisannya.

Pembinaan Hagia Sophia mendapat sentuhan daripada dua orang arkitek ternama pada era itu iaitu Anthemius dan Isodorus bagi memenuhi hasrat kerajaan Rom. Kedua orang arkitek ini telah membuat rekaan  bangunan Hagia Sophia terutama pada kubahnya yang bakal menjadi kubah terbesar pada ketika itu.

Seperti yang dijangkakan, memang bahagian kubah Hagia Sophia menjadi bahagian yang paling sukar disipkan. Setelah beberapa runtuhan dan percubaan, barulah kubah Hagia Sophia dibina dengan jayanya. Pembinaan semula Hagia Sophia ini mengambil masa 5 tahun 10 bulan. Satu masa yang cukup pantas bagi pembinaan pada zaman itu. Pembinaan Hagia Sophia telah melibatkan seramai 10,000 orang pekerja. Pada 27 Disember 537, Justinian telah merasmikan Hagia Sophia yang baharu.

Walau bagaimanapun, disebabkan satu gempa bumi yang berlaku, kubah asal Hagia Sophia telah runtuh pada tahun 558. Raja Justinian yang masih mmerintah ketika itu, mengarahkan adik sepupu Isodorus, untuk mereka dan membaik pulih semula kubah tersebut. Setelah dibaik pulih, kubah tersebut kekal sehingga kini.

Sultan Muhamad Al Fatih 2 (Sultan Mehmed II) telah menakluk kota Constantinople dan menukarkan namanya kepada Instanbul. Fungsi Hagia Sophia sebagai sebuah gereja akhirnya ditukar sebagai masjid oleh umat Islam. Binaan yang memaparkan ciri-ciri Kristian yang jelas seperti mozek bercorakkan Jesus telah diturunkan atau ditutup.

Setelah itu Hagia Sophia menjadi rumah ibadah umat Islam sehinggalah tahun 1935. Pemerintah sekular, Mustafa Kemal Atarturk telah menukarkan fungsi Hagia Sophia dari sebuah masjid menjadi sebuah muzium. Alhamdulillah, presiden Turki ketika ini, kembali berusaha menjadikan Hagia Sophia sebagai sebuah masjid kembali.

Walaupun kini sudah bertukar menjadi sebuah masjid, kerajaan Turki telah berjanji bahawa Hagia Sophia masih dibenarkan dikunjungi oleh pelawat-pelawat dari pelbagai agama yang lain.

Semoga laungan azan yang kembali bergema di sana membangkitkan semangat umat Islam di seluruh dunia. Allah hu Akbar!