Hamka – Penulis, Cendekiawan, Reformis

Kehidupan Ahmad Mahmud 21-Mei-2020
HAMKA, cendekiawan Melayu Nusantara © SalamWeb

Profesor Dr. Hamka adalah antara pendukung pembaharuan intelektual Islam terhebat di Asia Tenggara. Islam di benua Asia pada awal abad ke-20 telah diberkati dengan ramai penulis kreatif, aktivis masyarakat, sasterawan prolifik dan reformasi agama inovatif; Hamka yang istimewa merangkumi kesemua itu dengan pengaruh yang tersendiri. Beliau pastinya juga dikenali sebagai tokoh utama yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Nusantara.

Hamka amat dikenali sebagai Buya Hamka (Buya adalah gelaran kehormat seorang ulama dengan latarbelakang Minangkabau), cendekiawan agama berbahasa Melayu terbaik di dunia. Oleh yang demikian, fokus bagi artikel mengenai tokoh yang terkenal dengan pelbagai keupayaan hebat ini akan ditumpukan kepada gabungan agama, sastera dan bahasa tanpa susunan tertentu.

Nama besar yang diakronimkan dari Haji Abdul Malik Karim Amrullah, HAMKA telah dilahirkan pada bulan Februari 1908 di Maninjau dalam daerah Agam, Sumatra. Beliau meninggal dunia di Jakarta pada bulan Julai 1981 ketika berumur 73 tahun. Ayahnya, Haji Abdul Karim Amrullah adalah seorang ulama berpengaruh di Sumatra Barat dan amat mementingkan pendidikan dan agama.

Hamka telah bersekolah secara formal serta tidak formal dan merupakan seorang penghafaz Al-Quran yang menguasai bahasa Arab dan undang-undang Islam. Walaupun dianggap seorang anak yang agak bermasalah, beliau telah meneruskan pengajian dengan ramai pakar agama dan ulama ternama di Sumatra hingga ke Jawa, termasuk belajar dan bekerja di Mekah. Berkenaan dengan pengalaman pekerjaannya, Hamka adalah seorang wartawan, penyair, pengarang, pendidik, pemimpin politik, penulis dan ulama yang dihormati.

Hamka adalah susuk terpenting pengubah pemikiran Melayu-Islam melalui perantara penulisan yang cuba merapatkan lapangan sastera dan agama. Beliau telah menghasilkan lebih dari 100 karya penulisan di mana kebanyakannya sangat laris di Indonesia dan Malaysia ketika diterbitkan. Karya penulisan Hamka merangkumi genre penulisan sejarah, cerpen, puisi, novel, keagamaan dan tafsiran Al-Quran yang antaranya menyentuh tentang falsafah, sejarah, perundangan, kepercayaan, etika, politik, tasawuf dan budaya.

Tulisan-tulisan Hamka antaranya telah meninggalkan kesan dan memberi perspektif baru bagi umat Islam dalam memahami keadilan sosial, wanita, sufisme, dan kalam petunjuk Allah. Hasil karya Hamka yang paling berharga adalah Tafsir Al-Azhar sebanyak 30 jilid, iaitu terjemahan Al-Quran menggunakan bahasa Melayu moden yang menggunakan pendekatan saintifik pelbagai disiplin dengan kaedah tafsiran kritis (takwil).

Juga selayaknya disebutkan, dua karya novel aliran realisme tulisannya yang popular bertajuk Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck telah diangkat ke layar perak. Manakala buku-buku gaya falsafah dan keagamaan yang menonjol antaranya ialah Tasawuf Modern, Falsafah Hidup dan Lembaga Budi.

Hamka menawarkan perspektif peradaban Melayu dengan nilai keislaman segar yang mewakili dunia nyata. Ia memberikan sumbangan besar kepada pemahaman kita tentang dinamika reformasi Islam di Asia Tenggara ala warga dunia moden. Beliau menganjurkan sifat terbuka yang celik akal dan mudah menerima pelbagai pemikiran dan ilmu falsafah. Lantas, Hamka berjaya menyelaraskan banyak cabang pemikiran Islam dan Barat dalam usaha menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi umat Islam di alam Melayu.

Bahasa Melayu dirujuk sebagai bahasa ibunda Melayu etnik, orang asal di Malaysia, Brunei dan Indonesia (khususnya di Sumatra dan Kalimantan), dan beberapa tempat di Asia Tenggara. Hamka bersifat amat kritis dengan bahasa Melayu yang baginya adalah bahasa pokok dari bahasa Indonesia. Jelas beliau, Bahasa Melayu adalah bahasa yang memiliki pengaruh Islam yang sangat kuat dalam kehidupan dan juga sastera Melayu, dan ini merupakan alasan yang cukup kuat untuk memperjuangkannya.

Hamka menegaskan bahasa Melayu, termasuk huruf Melayu atau Jawi yang berlandaskan abjad Arab, adalah kunci kepada hubungan sesama masyarakat berlainan negara di alam Melayu. Melalui perantaraan bahasa Melayu, Hamka akan terus dikenang sebagai simbol perpaduan dan pejuang yang menjadikan bahasa, budaya dan agama Islam sebagai unsur penyatuan bangsa serumpun terutamanya di Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura.

Hamka dan Islam telah mendorong sempadan kesusasteraan yang meluas berkenaan dengan pembaharuan Islam dalam pengalaman dunia Melayu. Peranannya telah membantu mengukuhkan penggunaan dan penyerapan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di gugusan kepulauan Melayu. Seterusnya, usaha beliau berjaya mengupayakan karya-karya sastera berbahasa Melayu yang dapat diterima juga difahami oleh semua lapisan masyarakat Nusantara.

Selayaknya, Hamka telah menerima ijazah kedoktoran kehormat dari Universiti Al-Azhar di Mesir, dan juga dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Khazanah pemikiran beliau sebagai seorang negarawan masih terus dihormati malah dihargai oleh umat Islam di seluruh alam Melayu. Semoga warisan Hamka akan kekal bermanfaat menjadi sumbangan penting dan berguna di masa hadapan bagi generasi baharu sepanjang zaman.