Hak wanita dalam memilih jodoh

Kehidupan Abi Aasim 23-Jul-2020
Hak wanita dalam memilih jodoh © Jittawit Tachakanjanapong | Dreamstime.com

Ajal maut dan jodoh adalah di tangan Allah SWT. Namun dalam memilih jodoh misalnya tidak ada salahnya jika empunya tubuh yang memilih sendiri. Namun memilih jodoh perlulah berlandaskan ajaran Islam dan syariat yang telah ditetapkan.

Semestinya semua insan mahu memilih pasangan hidupnya yang terbaik. Sang suami mendambakan seorang bidadari yang mampu membahagiakannya. Sang isteri juga pastinya mahulan seorang pelinding yang boleh memimpin dan membahagiakan hidupnya.

Bukan sahaja lelaki, kaum wanita juga turut diberikan hak untuk memilih siapa yang akal menjadi pasangan hidupnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Perempuan-perempuan janda tidak boleh dikahwinkan sebelum terlebih dahulu diminta persetujuannya, dan anak-anak gadis tidak boleh dikahwinkan, hingga terlebih dahulu dimintakan izinnya.” Kata mereka: “bagaimana tanda izinnya?” Nabi menjawab: “Apabila ditanya dia (wanita tersebut) diam sahaja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW turut bersabda: “Sesungguhnya seorang anak gadis datang kepada Rasulullah SAW menceritakan bahawa bapanya telah mengahwinkannya, padahal dia tidak suka, maka Nabi menyuruh pilih kepadanya antara menerima atau menolak.” (HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Berdasarkan penerangan hadis-hadis tersebut, jelaslah bahawa para wanita ada hak untuk memilih pasangan mereka masing-masing. Para wali tidak boleh dan tidak berhak mengahwinkan mereka secara paksa. Islam membenarkan kaum wanita memilih pasangan agar mereka dapat membina rumah tangga yang aman dan harmoni.

Walaupun begitu, kaum wanita hendaklah tidak menyalahgunakan hak yang diberikan ke atasnya. Pilihlah jodoh dan pasangan yang mampu membimbing anda ke jalan Allah SWT dan bukan sekadar kemahuan anda semata-mata.

Tidak ada cubaan yang lebih besar dari jatuhnya seorang gadis mukmin kea tas tangan seorang suami yang derhaka kepada Allah SWT dan tidak menjaga serta memelihara maruah dan kemesraan isterinya.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu sekalian didatangi oleh seorang yang beragama dan akhlaknya kamu redai, maka kahwinkanlah dia. Jika kamu tidak melaksanakannya maka akan terjadilah fitnah di muka bumi ini dan tersebarlah kerosakan.” (HR At-Tirmidzi)

Islam telah mengangkat martabat wanita berbeza seperti apa yang dituduh oleh pihak barat. Malah Islam memberikan kebebasan penuh kepada wanita untuk memilih pasangan hidup mereka sendiri. Kasih dan sayangnya Islam dalam memelihara kesejahteraan dan kehormatan wanita.

Pilihlah pasangan hidup mengikut syariat Islam. Semoga rumahtangga yang akan dibangunkan mendapat rahmat dari Allah SWT dan dikurniakan zuriat dan keturunan yang sentiasa mengingati dan mentaati Allah.