Hakim bin Hazam r.a, sahabat Rasulullah SAW yang lahir dalam Kaabah

Kepercayaan Hanita Hassan 09-Sep-2020
dreamstime_s_115341354
Kaabah dari sebuah jendela © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Pada malam sebelum penaklukan Makkah, Rasulullah SAW berkata kepada para sahabat: “Sesungguhnya di Makkah ada empat orang yang aku anggap tidak sesuai menjadi musyrik dan lebih sesuai untuk menerima Islam.” Sahabat lantas bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab:  “Attab bin Usaid, Jubair bin Muthim, Hakim bin Hazam dan Suhail bin Amru!”

Lahir di dalam Kaabah, Hakim bin Hazam bin Khuwailid r.a adalah salah seorang sahabat yang rapat dengan Nabi Muhammad SAW sebelum diangkat sebagai Rasul lagi.  Usianya lima tahun lebih tua berbanding umur Baginda. Hakim dibesarkan dalam lingkungan keluarga terhormat dan kaya raya.

Berperibadi mulia dan istimewa serta diberi kepercayaan menguruskan Jabatan Rifadah iaitu yang mengelola urusan haji pada masa jahiliyah. Sifatnya yang pemurah itu disukai oleh kaum Quraisy. Beliau sampai sanggup mengeluarkan kekayaan peribadinya untuk membantu setiap jemaah haji yang kekurangan bekalan di masa jahiliyah.

Hubungan dengan Nabi Muhammad SAW bertambah erat apabila Baginda mengahwini ibu saudaranya, Saidatina Khadijah binti Khuwailid. r.a. iaitu kakak kepada bapanya Hazam bin Khuwailid.

Beliau begitu sukar menerima agama Islam, agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW meskipun mempunyai hubungan yang sangat rapat. Selepas berlakunya peristiwa Fathu Makkah (penaklukan bandar Makkah) dan setelah 20 tahun Rasulullah  diutus sebgai Nabi,  baharulah Hakim  r.a mendapat hidayah dan memeluk Islam.

Ketika pasukan Islam masuk ke kota Makkah dan membebaskan kota itu dari pengaruh jahiliyah, Rasulullah SAW berseru:  “Siapa sahaja yang mengucapkan kalimah syahadah   bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah Yang Maha Esa dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba sekali gus utusan Allah, maka dia akan selamat (tidak diperangi).

Siapa sahaja yang berlindung di Kaabah serta meletakkan senjatanya, dia juga akan selamat.  Siapa sahaja yang masuk dan berlindung di rumah Abu Sufyan, dia selamat.  Dan siapa sahaja yang masuk dan berlindung di rumah Hakim Ibn Hazam, dia juga selamat.”

Selepas peristiwa Fathu Makkah, Hakim bin Hazam r.a memeluk Islam.  Seawal dia menerima Islam dalam hidupnya, Hakim berasa hairan dengan dirinya sendiri.  Dia menyesali setiap apa yang pernah dilaluinya semasa  dalam keadaan musyrik  kepada Allah SWT dan mendustakan Nabi SAW.

Hakim bin Hazam r.a menangis kerana  terlewat memeluk Islam sehingga banyak kesempatan  baik yang telah dipersia.  Walaupun beliau boleh menebus semua kesilapannya dengan memberi sedekah emas sebesar gunung sekalipun, beliau merasakan tetap tidak akan sebanding dengannya. Beliau bersumpah menebus setiap perbuatan buruk yang dilakukannya di masa jahiliyah.

Setiap harta yang dikeluarkan olehnya ketika itu yang digunakan untuk memusuhi Rasulullah SAW ditebus dengan berlipat ganda demi agama Islam. Janji tersebut ditunaikan dengan menjual bangunan Darun Nadwah (Parlimen Quraisy), sebuah institusi yang disegani dengan harga 100,000 dirham dan hasilnya telah disedekahkan di jalan Allah SWT.

Setelah Islam, beliau menunaikan haji dan membawa 100 ekor unta dan mengorbankan kesemuanya.  Dalam kesempatan haji berikutnya, Hakim bin Hazam r.a semasa wukuf di Arafah membawa 100 orang hamba dan di lehernya tergantung seutas kalung perak dan tertera tulisan dengan ukiran indah.  Mereka dimerdekakan. Pada musim haji berikutnya, beliau membawa seribu ekor kambing dan menyembelihnya di Mina dan membahagikan dagingnya kepada kaum muslimin yang miskin.

Selepas Perang Hunain sikap Hakim bin Hazam r.a berubah.  Beliau tidak lagi meminta  kepada sesiapa pun dan tidak mengambil apa pun dari siapa sahaja sehingga beliau meninggal dunia.