Hala tuju dan tujuan hidup di dunia

Kehidupan Hanita Hassan 08-Jul-2020
Apa tujuan kehidupan sebenarnya? © Wachirakl | Dreamstime.com

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT.  Matlamat kita hadir ke dunia ini adalah mengabdikan diri kepada Yang Maha Pencipta, mentaati suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Al-Quran telah menyebut akan perkara ini melalui firman Allah SWT yang maksudnya: “Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku.”  (Surah al-Dzariyat, ayat 56)

Setiap daripada kita perlu mempunyai hala tuju dalam hidup.  Hala tuju setiap Muslim dalam hidup di dunia ini ialah untuk mendapat keredaan Allah SWT.  Dengan keredaan-Nya, kita akan mendapat limpah kurnia yang banyak di dunia mahupun di akhirat.

Daripada al-Hasan, Ibn Umar, Nabi SAW bersabda sepertimana yang diceritakan daripada Tuhannya yang bermaksud:  “Mana-mana hamba-Ku yang keluar berjihad pada jalan (fisabilillah) semata-mata mengharapkan keredaan-Ku, Aku beri jaminan untuknya.

Sekiranya dia kembali semula selamat, dia mendapat ganjaran pahala dan harta perang yang dimenanginya.  Namun, sekiranya dia tewas dalam pertempuran itu pasti Aku ampuni dosanya dan Aku beri rahmat limpah kurnia-Ku serta Aku masukkan dia ke dalam syurga.”  (Hadis riwayat oleh Ahmad)

Kitab al-Quran yang diturunkan Allah SWT adalah sebagai panduan dan rujukan untuk kita menjalani kehidupan dunia yang mencabar dan mempersiap diri ke negeri akhirat.

Tindakan kita menjauhkan diri daripada  panduan ini akan menyebabkan  tujuan hidup kita tersasar daripada jalan kehidupan yang telah digariskan oleh Allah SWT.  Ia sekali gus akan menghakis rasa keterikatan kita terhadap Allah SWT.

Keadaan ini kemudian mengundang unsur lain mengisi  ruang kosong dalam diri kita dengan menjadikan makhluk dalam bentuk benda, objek, manusia dan seumpamanya sebagai matlamat utama hidup sehingga lupa tanggungjawab kepada Rabb Yang Maha Esa.

Khalifah ar-Rasyidin ketiga yang juga menantu Rasulullah SAW, Saidina Uthman bin Affan r.a pernah memberi peringatan mengenai keadaan umat Islam yang menjadikan dunia sebagai pentas merebut kekayaan dan kedudukan.

“Ketahuilah dunia itu hijau dan menyenangkan. Ramai manusia yang terpesona dan ingin mendekatinya.  Oleh sebab itu, janganlah kamu tertipu olehnya. Jangan jadikan dunia tujuan hidup kamu.

Kerana jika dunia telah menguasai hati kamu, dia akan sukar dilepaskan daripada hati kamu. Dunia tidak akan meninggalkan manusia, ia akan mempergunakan manusia yang mencintainya sehingga si pencinta dunia itu menemui ajalnya.” (Saidina Uthman bin Affan)

Banyak kisah yang terakam di dalam al-Quran untuk dijadikan panduan.  Antaranya kisah Nabi Nuh a.s yang digambarkan sebagai Rasul yang tidak jemu menyeru kaumnya kembali kepada matlamat hidup sebenar.

Dalam masa yang sama, Allah SWT juga menjelaskan kehebatan Nabi Nuh a.s membina kapal pada zaman itu dan ini dijelaskan melalui nas-nas berkaitan serta kejayaan Baginda menempuh banjir besar luar biasa yang terakam dalam Surah Hud, ayat 42.

Kisah kejayaan Nabi Nuh a.s yang mampu menghadapi ombak setinggi gunung menerusi kehebatan binaan kapal yang dibangunkan itu adalah mesej Allah SWT, bahawa keutamaan utama hidup di dunia adalah untuk menjadi hamba Allah.

Peranan kita sebagai hamba Allah SWT sebenar tidak sepatutnya menjadikan kita terpisah daripada dunia.  Sekiranya kita dapat memahami semua ini, kita boleh menjadi khalifah yang selayaknya di dunia dan di akhirat.