Halal lawan Kosher! adakah daging kosher boleh dianggap makanan halal?

Halal 02 Mac 2021 Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Halal lawan Kosher! adakah daging kosher boleh dianggap makanan halal?
Halal lawan Kosher! adakah daging kosher boleh dianggap makanan halal? © Cristina Grañena | Dreamstime.com

Halal lawan Kosher – Adakah makanan halal dan kosher sama tarafnya? Bolehkah orang Islam memakan makanan kosher, contohnya seperti daging kosher?

Ini penjelasan ringkas mengenainya.

Perbezaan makanan halal dan juga kosher

Halal daripada segi bahasa bermaksud ‘dibenarkan’. Daripada segi istilah, ia bermaksud sebarang makanan yang mengikuti kehendak ajaran dan syariat Islam.

Ini termasuklah jenis makanan itu sendiri serta cara penyediaanya. Makanan halal adalah makanan yang mengikuti ciri atau aturan seperti yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan juga hadis.

Kosher pula bermaksud ‘suci’ atau ‘betul’ daripada segi bahasa. Daripada segi istilah pula, kosher membawa makna sebarang makanan yang disediakan mengikut undang-undang agama Yahudi atau Judaisme (Judais).

Bolehkah umat Islam memakan makanan kosher sebagai ganti makanan halal?

Di beberapa kawasan yang mempunyai sebilangan kecil penduduk Muslim, daging yang disembelih dengan cara yang halal amat sukar untuk didapati. Ini termasuklah daging ayam atau daging lembu dan kambing.

Oleh itu, penduduk Islam di kawasan ini memilih untuk makan daging kosher kerana mereka percaya bahawa ia mempunyai taraf yang sama seperti daging halal. Jadi adakah benar bahawa daging kosher ini sama taraf dengan daging halal?

Jawapannya pastilah tidak, kerana cara penyediaan dan pemprosesan daging antara kaedah kosher dan halal tetap mempunyai perbezaannya.

Secara umumnya, kaedah penyembelihan haiwan dalam ajaran Yahudi dan juga Islam adalah sama. Sembelihan dilakukan dengan memutuskan dua urat pada leher haiwan yang disembelih iaitu urat pernafasan dan juga urat saluran makanan.

Syarat sah menyembelih daging menentukan halal atau tidak

Namun, perkara yang membezakan antara sembelihan daging kosher dan juga daging halal terdapat pada penyembelihnya. Dalam agama Islam, antara syarat sah bagi orang yang menyembelih ialah mestilah seorang Islam atau ahli Kitab serta disembelih atas nama Allah Taala.

Kita belum mengetahui sekiranya orang Yahudi yang menyembelih daging tersebut benar-benar ahli Kitab atau tidak. Ini kerana terdapat ciri khusus bagi menentukan jika seseorang Yahudi itu adalah ahli Kitab.

Tambahan pula, orang Yahudi tidak akan menyembelih haiwan atas nama Allah Taala. Oleh sebab itu, daging kosher tidak boleh dianggap sebagai salah satu makanan halal.

Cara yang terbaik bagi umat Islam ialah menolak perkara yang syubhah dan mencari alternatif lain bagi menggantikan daging kosher.

Hampir serupa seperti makanan halal, tetapi ada perbezaan lain makanan kosher

Secara umumnya, Islam dan faham Yahudi (Judaisme) mengharamkan makan babi, bangkai, serangga dan juga darah. Walaupun syarat makanan kosher dilihat hampir serupa dengan makanan halal, namun ada beberapa perbezaan jelas antara syariat Islam dan undang-undang Judaisme.

Contohnya adalah seperti berikut:

  • Judaisme mengharamkan umatnya memakan unta, tetapi Islam menghalalkannya
  • Judaisme melarang umatnya memakan daging arnab, tetapi tiada larangan sebegini dalam Islam
  • Orang Yahudi dilarang mencampurkan daging bersama susu, namun Islam tidak mengharamkannya sama sekali
  • Islam mengharamkan arak tetapi ia dihalalkan oleh Judaisme dan dianggap sebagai makanan kosher
  • Judaisme melarang umatnya memakan ikan yu, kerang-kerangan dan jenis haiwan krustasia. Islam menghalalkan hampir kesemua jenis makanan laut kecuali jika ia membahayakan kesihatan

Secara umumnya, penyediaan daging kosher mungkin kelihatan hampir sama seperti daging halal. Namun, ada sedikit perbezaan yang ketara yang menyebabkan daging kosher tidak boleh dikategorikan sebagai daging yang halal.

Untuk umat Islam, sebolehnya untuk mengelakkan diri daripada memakan daging kosher kerana termasuk dalam makanan yang syubhah atau diragui.