Halal: makanan, kosmetik dan lainnya

Dunia Nur Adibah Ramly 04-Sep-2020
dreamstime_s_119739898
Tanda 'Halal' © Bundit Minramun | Dreamstime.com

Halal adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan setiap Muslim. Ia telah ditetapkan oleh Allah SWT dan merupakan satu perkara asas dalam Islam. Halal bukan mengenai makanan atau minuman, halal adalah mengenai penyerahan diri kepada Allah. Halal adalah apa sahaja perkara yang diizinkan oleh Allah.

Al-Quran telah menjelaskan mengapa sesuatu  barangan mahupun perkara itu dianggap tidak halal; namun, apa yang penting adalah untuk terus patuh kepada perintah Allah SWT walau apapun alasannya. Ia adalah kerana Allah yang mengkehendaki sedemikian dan Dia boleh melakukan perkara  yang tidak difahami oleh manusia.

Sekiranya Allah SWT menginginkan sesuatu itu haram pada hari ini dan halal pada keesokkan harinya, maka terjadilah ia. Manusia tidak akan dapat memahami kebijaksanaan Allah. Apa yang perlu dilakukan adalah mematuhi segala arahan-Nya. Inilah yang dimaksudkan dengan Halal.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah Al Baqarah, ayat 195)

Peraturan utama bagi Halal adalah tidak memakan apa-apa yang boleh membahayakan anda. Ia merujuk kepada makanan, minuman, ubat-ubatan (yang memasuki badan secara langsung melalui mulut anda), yang merujuk kepada kosmetik dan ubat-ubatan (yang memasuki badan anda secara tidak langsung melalui kulit), dan merujuk kepada pemikiran dan idea jahat (yang memasuki badan melalui akal fikiran).

Dalam dunia sekarang, kandungan bukan halal dengan mudah dapat dimasukkan ke dalam pelbagai produk yang kita gunakan.  Oleh itu pengawalan yang ketat perlu dilakukan setiap masa untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku, kerana apa sahaja kandungannya boleh ‘merosakkan diri sendiri’ pada bila-bila masa sahaja.

Al-Quran telah menyediakan peraturan bagi perkara yang halal dalam surah-surah seperti Al-Baqarah, Al-Ma’idah, Al-An’am dan An-Nahl. Manakala larangan sama sekali terhadap produk (najis) terdiri daripada bangkai, darah, daging babi, dan makanan untuk pemujaan selain Allah SWT.

Untuk daging yang halal, ia berasal daripada binatang yang diizinkan, disembelih mengikut garis panduan Syariah yang telah menetapkan kaedah penyembelihan secara terperinci serta niat hanya kerana Allah SWT.

Garis panduan yang sama digunakan ke atas produk kosmetik halal. Ia sering dikelirukan dengan produk organik ataupun sayuran. Pertama sekali, bahagian penting yang hilang di dalamnya adalah pengabdian kepada Allah SWT. Kedua, ialah peraturan semasa yang membenarkan kandungan alkohol tertentu di dalamnya yang jelas bertentangan bagi sesuatu yang halal.

Tentu sekali ‘Sijil Halal’ yang telah disahkan adalah sangat penting, dan apabila perkara itu dibenarkan, ia hendaklah diperiksa semula oleh orang Islam sendiri, untuk memastikan bahawa produk tersebut tidak mengandungi kandungan yang tidak halal seperti: bahagian manusia atau yang terhasil daripadanya; sebarang najis (bangkai, darah, daging babi).

Atau yang terhasil daripadanya (cecair atau bendalir yang dikeluarkan daripada tubuh manusia atau haiwan, seperti air kencing, kotoran, darah, muntah dan nanah); alkohol dalam bentuk apa pun (sebagai contoh, sebatian kosmetik formalin yang popular mengandungi 8% metil alkohol yang menjadikannya haram). Ditambah pula setiap langkah bagi prosedur pembuatan seperti pengeluaran, penyimpanan dan logistik mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya dan mematuhi perspektif halal.

Kita dapat melihat dengan jelas bahawa pematuhan terhadap perspektif halal ini lebih besar daripada sekadar makan makanan yang betul. Pengertian ini merangkumi banyak aspek lain dalam kehidupan moden, terutama apabila pengguna tidak sering diberitahu tentang isi kandungannya.

Oleh itu, ia adalah salah satu kewajipan bagi umat Islam untuk terus berwaspada dan menjaga kehendak Allah SWT setiap masa. Mengabaikan perintah-perintah Allah, terutama yang disebabkan oleh kelalaian atau kemalasan diri sendiri, akan dianggap sebagai dosa besar di hari Kiamat. Jangan biarkan diri anda dalam kehancuran, justeru berjaga-jagalah.