Halia untuk ibu berpantang

Kepercayaan Hanita Hassan 19-Sep-2020
dreamstime_s_64577185
Halia untuk ibu berpantang © Baibaz | Dreamstime.com

Halia adalah antara herba penting yang diperlukan dalam makanan wanita  berpantang.  Bagi anda yang baharu melahirkan, pengambilan makanan panas berasaskan herba seperti halia, bawang putih, lada hitam, halba, manjakani dan serai baik kerana membantu mempercepat proses pemulihan dalaman.

Halia atau nama saintifiknya Zingiber Officinale Roscoe bukan sahaja berupaya membuang angin dalam badan, tetapi juga mampu mengembalikan kelancaran darah, menguatkan kembali peranakan dan menyembuhkan luka.  Ia juga mampu mengimbangi paras gula, mengurangkan rasa mual.

Anda boleh membuat persediaan makanan berpantang lebih awal sebelum melahirkan bayi. Dapatkan halia muda lebih kurang sekilo, kemudian bersihkan kulit dan hiris nipis mengikut saiz kesukaan anda. Kemudian gaulkan halia muda ini dengan cuka, gula dan garam.  Biarkan seketika sebelum disimpan di dalam peti sejuk.

Setiap kali masak, anda boleh masukkan halia jeruk ini dalam masakan.  Paling sedap apabila dimasak dengan hati lembu.  Hati hendaklah direbus terlebih dahulu, kemudian toskan dan hiris nipis.   Sebatikan dengan perasa dan rempah ratus pilihan seperti jintan manis dan lada hitam serta kunyit.  Goreng bawang hiris dan masukkan halia dan hati.  Sedikit air untuk mendapatkan kuahnya.

Halia jeruk ini juga sedap digandingkan dengan ikan bilis.  Anda perlu menggoreng ikan bilis terlebih dahulu, kemudian keluarkan daripada kuali.  Masukkan bawang besar dan halia yang telah dihiris nipis serta ikan bilis yang siap digoreng.  Anda boleh masukkan kicap manis untuk menambah rasa, siap untuk dimakan.

Tempoh berpantang yang panjang menyebabkan anda mungkin bosan dengan hanya minum air suam atau panas.  Sewaktu berpantang, air yang banyak diperlukan oleh badan.  Ia membantu mempercepat proses pemulihan badan dan memperbanyak susu ibu.  Sekurang-kurangnya dua liter air diperlukan setiap hari.

Anda juga boleh mengambil minuman herba supaya tubuh kekal hidrat.  Kesan penggunaan herba juga banyak khasiatnya untuk kesihatan jangka panjang. Halia selain digunakan dalam masakan, ia juga boleh dicampur dalam  minuman.

Cara menyediakannya mudah.  Anda hanya perlu mengambil halia tua dan mengetuknya hingga hancur.  Masukkan air panas dan sedikit gula perang dan sedia untuk diminum.

Sesungguhnya pemakanan yang baik adalah kunci untuk anda kekal sihat selepas bersalin selain rehat yang mencukupi.  Pantang larang yang diamalkan oleh orang dahulu sering dikaitkan dengan makanan yang boleh memudaratkan ibu bersalin. Dari segi perubatan dan kajian saintifik, tiada yang membuktikan bahawa makanan tertentu boleh memudaratkan kesihatan ibu bersalin.

Walau bagaimanapun ia terpulang kepada anda sama ada mahu mengamalkan pantang larang itu atau sebaliknya. Sekiranya ada sesetengah makanan yang dilarang ambil, anda boleh menggantikan dengan makanan lain daripada kumpulan makanan yang sama agar zat makanan tersebut dapat diperolehi.

Tempoh 40 hari yang ditetapkan oleh Islam bagi wanita selepas bersalin adalah waktu maksima semasa dalam nifas yang dikecualikan daripada melakukan ibadat seperti solat dan puasa.  Sekiranya dalam tempoh anda telah suci dari darah nifas dan haid, maka anda hendaklah mandi wajib dan mula menunaikan solat.

Islam sentiasa menggalakkan umatnya melakukan apa sahaja secara besederhana. Berpantang secara tradisional disarankan adalah bagi menjaga dan memulihkan kesihatan ibu dan bayi. Justeru besederhanalah selama tempoh berpantang.