Hamka, tokoh ulung tanpa dendam

Asia Adea Ghafar
Terkini oleh Siti Suriani Othman
Hamka, tokoh ulung tanpa dendam
Hamka, tokoh ulung tanpa dendam © minews.id/kisah

Penulisan mengenai Buya Hamka ini akan membincangkan sifat Hamka sebagai ulama yang sabar dan hidup tenang tanpa dendam. Hamka adalah tokoh perpaduan yang menghidupkan sikap berdamai, bersama dengan sikap kritis dan pemikiran yang maju.

Bukan itu saja, almarhum Hamka juga merupakan tokoh yang berwibawa.

Ada apa dengan Hamka?

Nama Hamka mungkin tidak asing bagi sesetengah kita di Asia Tenggara terutama di Indonesia dan Malaysia. Sebagai antara ulama terulung di Nusantara, ketokohan Hamka atau nama sebenarnya Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah menjadi sebutan ramai.

Keilmuan dan akhlaknya menjadi panduan dan contoh yang ditinggalkan kepada generasi selepasnya. Hamka menjadi sebutan dan ingatan bukan kerana ilmunya semata-mata.

Sabarnya Hamka

Tidak dinafikan, ramai tokoh agama yang juga berilmu tinggi sezamannya. Namun, yang menjadikan dia permata dari kalangan permata ialah akhlak dan kesabarannya. Beliau sabar mensolatkan jenazah orang yang memenjarakannya. Itu pastinya bukan mudah bagi sesiapa juga yang bergelar manusia, sungguh sesabar manapun kita.

Hal Hamka dipenjara pernah diceritakan oleh anaknya dalam temu bual yang dikongsikan di YouTube, bagaimana cubaan memukul dan mencederakan Hamka tidak berjaya dilakukan oleh askar yang diperintah oleh Presiden Sukarno ketika itu.

Sukarno yang juga merupakan teman baik Hamka, mengambil keputusan memenjarakan Hamka tanpa sebarang proses pengadilan. Dia dipenjara kerana dikatakan berkomplot untuk membunuh Sukarno dan Menteri Agama ketika itu. Bukan setakat dipenjara, dia juga hilang punca pendapatan serta buku-bukunya diharamkan.

Hidup tanpa dendam

Ditanya kesediaannya mensolatkan jenazah almarhum Sukarno:

”Saya tidak pernah dendam kepada orang yang pernah menyakiti saya. Dendam itu termasuk dosa. Selama dua tahun empat bulan saya ditahan, saya merasa itu semua merupakan anugerah yang tiada terhingga dari Allah kepada saya, sehingga saya dapat menyelesaikan kitab tafsir al-Quran 30 juz. Bila bukan dalam tahanan, tidak mungkin ada waktu saya untuk menyelesaikan pekerjaan itu…,”

(Kata Buya Hamka, dipetik dari akhbar Republika)

Dalam Islam, kita diminta menjauhkan diri daripada dendam seperti dalam hadis Rasulullah SAW di bawah. Inilah yang mendasari jiwa Hamka.

”Sesungguhnya lelaki yang paling dibenci Allah ialah yang paling gigih dalam permusuhan,”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)