Hanya telur dan tomato, sudah boleh masak Shakshouka!

Makanan Md Wa'iz 07-Nov-2020
dreamstime_s_167540781
Hidangan Shakshouka © Akichh | Dreamstime.com

Anda terfikir hidangan yang mudah tetapi menyelerakan setiap hari? Mungkin anda boleh mencuba untuk memasak Shakshouka. Shakshouka adalah sejenis hidangan Timur Tengah yang menggunakan telur dan tomato sebagai bahan utama.

Bagaimana untuk membuatnya?

Info ringkas berkenaan Shakshouka

Shakshouka adalah sejenis hidangan yang agak terkenal di sekitar Timur Tengah dan juga kawasan Mediterranean. Ada yang berkata, ia sebenarnya berasal dari negara Tunisia.

Malah ada juga ia mungkin berkembang daripada hidangan yang berasal dari Empayar Uthmaniyyah. Ada juga beberapa teori lain yang mengatakan ia berasal dari Maghribi dan juga Yaman.

Shakshouka adalah sejenis hidangan telur yang dimasak bersama sos tomato dan beberapa bahan lain. Ada versi yang hanya menambahkan sayur-sayuran seperti lobak dan kentang. Ada juga yang memasukkan sekali daging kambing cincang ke dalam Shakshouka mereka.

Sesetengah jenis hidangan ada meletakkan keju Feta bersama-sama Shakshouka tersebut. Kesemua versi masakan ini bergantung kepada budaya dan lokasi penduduk setempat.

Tidak susah, ini resepi Shakshouka yang boleh anda cuba

Untuk membuat Shakshouka, ia boleh dikatakan agak mudah. Walaupun agak mudah untuk dimasak, tidak bermakna ia tidak lazat. Anda boleh melihat kepada bahan-bahan yang diperlukan serta kaedah memasaknya yang kami sediakan di bawah ini.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat Shakshouka:

  • Minyak masak untuk menumis
  • 1 biji bawang besar yang dipotong dadu
  • 1 cawan lada benggala yang dipotong halus
  • 2 ulas bawang putih yang dicincang
  • 3 biji buah tomato yang dipotong dadu
  • 1 sudu teh serbuk jintan
  • 1 sudu teh serbuk paprika. Anda boleh menggantikannya dengan serbuk cili
  • 1 sudu teh garam
  • 4 biji telur ayam

Cara menyediakannya:

  1. Panaskan minyak di dalam kuali pada suhu yang sederhana. Masukkan bawang besar yang telah dipotong, lada benggala dan bawang putih. Tumis sehingga naik bau atau sehingga kesemuanya menjadi agak lembut
  2. Campurkan tomato bersama serbuk jintan, serbuk paprika dan juga garam kedalam sebuah mangkuk. Kacau rata sehingga kesemuanya sebati. Kemudian, masukkan campuran tomato tersebut kedalam kuali tadi
  3. Renehkan kuah tomato untuk seketika sehingga kesemuanya mendidih. Ia mungkin mengambil masa sekitar 10 minit
  4. Setelah itu, buatkan empat lubang kecil pada sos tomato tersebut. Ini bertujuan untuk memberikan sedikit ruang kepada telur yang akan dimasukkan ke dalam sos tersebut.
  5. Masukkan sebiji telur bagi setiap lubang tersebut. Tutup kuali dengan penutup dan biarkan sebentar untuk telur tersebut masak
  6. Setelah itu, tutup api dan hidangkan bersama roti atau nasi

Mudah tetapi mengenyangkan

Mudah bukan? Ia boleh dianggap sebagai salah satu resepi yang menyihatkan disebabkan kandungan protein, vitamin dan sedikit lemak di dalam hidangan ini.

Ia adalah hidangan yang sangat mengenyangkan dan juga tidak memerlukan banyak kos untuk membuatnya. Boleh cuba untuk memasaknya di rumah hari ini, pasti anda akan menyukainya.