Hargai dan kasihi anak kita

Keluarga Hanita Hassan
Hanita Hassan
Hargai dan kasihi anak kita
Hargai dan kasihi anak kita © - Dreamstime.com

Permata paling berharga dalam hidup kita adalah anak. Oleh itu, hargai dan kasihi anak kita. Kita berusaha dan berdoa siang malam untuk mendapatkan zuriat semasa di awal perkahwinan.  Ada yang sudah bertahun-tahun berkahwin, tetapi masih buntu untuk mendapatkan anak meskipun pelbagai usaha telah dilakukan.

Di mana sahaja ada tempat yang baik untuk berubat, kita akan cuba.  Begitulah pentingnya anak kepada kita.  Sehingga kita sanggup berhabis wang menggunakan teknologi moden demi seorang zuriat bergelar anak.

Anak kurniaan Allah SWT

Apabila Allah SWT makbulkan permintaan kita dan mengurniakan seorang cahaya mata, itulah kegembiraan yang tidak tergambar dengan perkataan.  Tanpa sedar, kurniaan itu sebenarnya hadir dengan tanggungjawab yang cukup besar.

Di tangan kita seorang khalifah kecil yang comel mesti kita didik menjadi umat-Nya yang paling baik, soleh dan soleha di dunia ini. Seperti kanvas putih yang boleh dilakar dan diwarnakan dengan apa sahaja warna yang kita suka.  Semua sifat, sikap serta agama anak bergantung kepada kita.

Besar sungguh tugas yang tergalas di bahu.  Entah kita pernah berfikir sehingga ke situ atau tidak agaknya. Kepada yang terpilih jadilah ibu bapa yang selayaknya. Ada yang meraikan kehadiran anak dengan menganjurkan kenduri doa selamat, akikah, menjamu kaum keluarga serta handai taulan.

Selang setahun atau dua tahun kemudian, kita dikurniakan lagi dengan cahaya mata sehingga terpaksa pula merancang keluarga bimbang terlalu ramai anak. Begitulah perjalanan hidup kita yang akan berterusan.

Namun pernahkah kita bertanya kepada diri kenapa selepas kita dikurniakan anak, kita tidak menghargai mereka.  Kita tidak memperuntuk masa secukupnya kerana kesibukan bekerja.

Tidak cukup lima hari seminggu, terpaksa bekerja lebih masa pada cuti hujung minggu.  Itu tidak dikira lagi sekiranya kita diperlukan untuk bekerja selama berhari-hari di luar daerah.

Kesudahannya anak terpaksa hidup dan tinggal dengan pengasuh.  Sekiranya pengasuh kita berbangsa Indonesia, anak-anak juga akan mula terikut dengan gaya dan budaya hidup mereka.

Apabila kita berada di rumah, banyak masa dihabiskan dengan melihat gajet atau menyiapkan kerja pejabat sehingga tidak sempat bertanya khabar anak atau membantu mereka menyiapkan kerja sekolah. Pertanyaan anak dijawab endah tak endah dan adakalanya menengking anak.

Hargai dan kasihi anak kita

Islam begitu menitikberatkan aspek tarbiah atau pendidikan anak.  Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka.”

(Surah al-Tahrim, ayat 6)

Dalam konteks ini, pendidikan agama serta akidah adalah keutamaan dan hendaklah dilaksana dengan sempurna.

Sesungguhnya iman dan hidayah tidak boleh diwarisi.  Umpama meninggalkan harta pusaka yang berbentuk fizikal.  Sebaliknya iman adalah kefahaman dan keyakinan dalam hati seseorang anak.

Dengan masa yang begitu padat antara ruang untuk diri, suami, isteri, anak dan kerja, adakah kita telah membimbing dan mendidik anak dengan akidah seorang muslim yang taat kepada agamanya.

Tepuk dada dan tanya selera.  Sepertimana kata Iman al-Ghazali yang berpesan:

“Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa.  Jika sudah terbiasa dengan perkara kebaikan, anak itu akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya.  Sebaliknya jika dibesarkan dalam suasana tidak baik dan dipersiakan seperti haiwan, menderitalah dia dan binasa.  Dosa juga yang akan ditimpakan ke atas orang yang dipertanggungjawabkan itu.”

Hargailah anak.  Peluk dan berilah kasih sayang sepenuhnya.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.