Hari Jumaat dan amalan sunat

Old iranian Muslim praying Tahajjud in Mosque
Amalan sunat hari Jumaat © Dmitrii Melnikov | Dreamstime.com

Hari Jumaat turut dikenali sebagai Saiyiddul Ayyam yang bermaksud ‘Penghulu segala hari’. Hari Jumaat dan amalan sunat sudah sebati dalam diri orang Islam seluruh dunia.

Ada pelbagai kelebihan hari Jumaat dari segi sejarah dan kehidupan seorang Muslim. Artikel ini akan melihat secara ringkat tentang beberapa amalan yang sunat untuk dilakukan.

Amalan sunat pada hari Jumaat

Sebagai seorang Muslim, ada beberapa amalan sunat yang sesuai dilakukan pada hari Jumaat, antaranya ialah:

Membaca Surah Al-Kahfi pada malam Jumaat atau hari Jumaat. Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud:

“Barang siapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.”

(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Membaca Surah as-Sajdah pada rakaat pertama dan Surah Al-Insan pada rakaat kedua ketika solat subuh secara berjemaah.

Membersihkan diri – Antara perkara-perkara yang boleh dilakukan ialah, mandi sunat hari Jumaat, memotong kuku, mencukur rambut-rambut di badan.

Memperbanyakkan bacaan selawat dan zikir.

Memperbanyakkan sedekah berdasarkan kemampuan.

Bagi kaum lelaki, datang awal ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Memperbanyakkan doa dan ibadat sunat pada hari Jumaat seperti membaca al-Quran – Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud:

“Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang Muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah akan memperkenankan permintaannya itu.”

(HR al-Bukhari)

Memakai pakaian yang cantik dan bersih serta berwangi-wangian untuk ke masjid menunaikan solat Jumaat – Islam adalah agama yang sangat mengambil berat tentang kebersihan. Perhimpunan umat manusia yang ramai untuk solat Jumaat menyebabkan mungkin ada yang akan terkesan jika ada antara individu yang tidak menjaga kebersihan.

Amalan berwangian-wangian ini dapat mengelakkan ada jemaah yang terganggu. Walau bagaimanapun, wangi-wangian yang digunakan haruslah menepati batas dan tetapan yang terkandung dalam hukum syarak.

Amalan sunat adalah suatu amalan yang dapat memberikan pahala kepada pengamalnya namun tidak mendatangkan dosa jika tidak melakukannya. Tiada sesuatu yang sempurna di dalam kehidupan ini kecuali Allah SWT.

Allah SWT telah memberikan manusia menutup kepincangan dan kelemahan dalam melakukan amalan wajib dengan amalan sunat ini. Anugerah dan kurniaan istimewa dari Allah ini usahlah kita sia-siakan. Marilah kita ambil peluang untuk menghidupkan amalan-amalan sunat pada hari Jumaat.