Hari Raya bakal tiba! Kesayuan terasa, terkenang ibu bapa

Acara Siti Nur Baiin Che Harun
Siti Nur Baiin Che Harun
Hari Raya bakal tiba! Kesayuan terasa, terkenang ibu bapa
Hari Raya bakal tiba! Kesayuan terasa, terkenang ibu bapa © Hafiza Samsuddin | Dreamstime.com

Dalam keghairahan kita menyambut hari lebaran, terkenang semua yang berada di kampung terutama ibu bapa yang telah tua menanti kepulangan anak-anak. Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut hari raya.

Namun, kita perlu reda dan akur dengan ketetapan untuk beraya di perantauan demi menjaga kemaslahatan sejagat.

Hikmah daripada setiap kejadian

Setiap musibah atau bencana yang berlaku hendaklah dianggap sebagai peringatan penting dari Allah SWT. Supaya kita semua muhasabah dan bertaubat di atas segala dosa yang telah dilakukan.

Walaupun berat untuk hadapinya, Allah Maha Mengetahui dengan segala apa yang berlaku. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Ambillah hikmah daripada setiap kejadian. Allah Taala berfirman yang bermaksud:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 216)

Jika kita pasakkan dan faham dari firman Allah SWT di atas, secara tuntasnya hati ini dapat dipujuk dengan kesedihan ujian yang dihadapi. Sesungguhnya pengetahuan kita amatlah terhad.

Bersabar di atas ujian

Setelah sekian lama berpisah dan tidak bersua muka, sebenarnya jiwa kita sedang dididik untuk terus bersyukur. Bersangka baik dengan Allah SWT, bersikap positif, berlapang dada dan tidak merungut dengan apa yang berlaku.

Ini bagi mengelakkan kita dari tergolong dalam golongan yang tidak bersyukur. Sesungguhnya orang yang bersabar beroleh kemenangan dan tidak akan rugi. Rasulullah SAW berdoa:

“Ya Allah, berilah ganjaran terhadap musibah yang menimpaku dan berilah ganti dengan yang lebih baik.”

(Hadis riwayat Muslim)

Allah Taala berfirman yang bermaksud:

“(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan (musibah), mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

(Surah al-Baqarah, ayat 156)

Hari Raya dan ibu bapa

Jadikan rutin untuk menghubungi ibu bapa kita setiap hari. Walaupun hanya berbual kosong. Peluang ini sangat dihargai bagi mereka yang sudah tidak mempunyai ibu bapa lagi.

Saat dan memori berhubung dengan mereka yang telah pergi, seringkali dikenang untuk diwujudkan kembali, dimana ia adalah mustahil. Hargailah mereka selagi mereka masih hidup.

Oleh yang demikian, selalulah memohon kemaafan agar kita beroleh keberkatan.

Kirimkan wang belanja dan kuih raya dari jauh

Sekalipun kita semua beraya di perantauan, usahakan untuk mengirim wang belanja dan kuih raya buat mereka yang berada di kampung. Ia cukup untuk memberi tanda ingat dan kasih sesama kita.

Selamat Hari Raya, bersama raikannya dengan penuh kesyukuran!