Sentuhan Mewah Harris Vertu

Dewasa kini, kemunculan barangan dan perkhidmatan yang dianggap mewah pada harga yang berpatutan semakin banyak. Ini termasuklah juga aneka penginapan seperti hotel yang dianggap berkelas antarabangsa namun menawarkan harga yang tidak terlalu mahal atau di luar kemampuan.

Sesuai dengan konsep sedemikian sekarang ada banyak pilihan hotel berkelas mewah namun menawarkan harga yang sangat berpatutan. Dan salah satu jenama hotel yang terkenal di negara jiran kita Indonesia, iaitu Hotel Harris memberikan kelebihan tersebut melalui Hotel Harris Vertu yang terletak di kawasan Harmoni, Jakarta.

Antara yang terbaru di Jakarta, Hotel Harris Vertu Harmoni ini menawarkan perkhidmatan dan bilik-bilik yang sangat menarik pada harga yang sangat berpatutan.

Terletak di kawasan pusat Jakarta serta di atas pusat membeli-belah gaya hidup Harmonie Exchange atau HXC hotel ini dibina untuk memenuhi pasaran pelancong yang semakin ramai di Jakarta selain daripada tetamu yang datang bagi tujuan perniagaan serta percutian luar negara.

Lokasinya yang sangat dekat dengan stesen pengangkutan awam ‘Busway’ serta Stesen Keretapi Gambir menjadikannya satu pilihan yang sesuai bagi mereka yang mahukan kesenangan dalam bergerak sekitar kota.

Seperti namanya, ia menampilkan bilik-bilik yang ceria dengan penataan gaya yang lebih mewah daripada hotel Harris yang biasa. Ia juga dilengkapi sebuah restoran bernama Voyage, yang menawarkan aneka hidangan lazat tempatan dan antarabangsa, sebuah kelab khas kanak-kanak iaitu Kid.Do untuk kanak-kanak bermain dan melakukan aktiviti menarik, sebuah kolam renang, spa, ruang mesyuarat, dewan acara dan macam-macam lagi.

Semestinya setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan internet percuma serta televisyen berlayar leper LCD.

Lebih menakjubkan juga adalah pemandangan kota Jakarta yang dapat dinikmati dari bilik-biliknya kerana hotel ini berada tinggi di atas HXC Mall.

Oleh itu, hotel ini sangat sesuai buat anda yang mahukan hotel berkualiti tetapi menawarkan harga yang sangat berpatutan dengan kemudahan serta lokasinya.

Bukan sahaja bilik-biliknya cantik dilihat tetapi juga sangat selesa untuk didiami. Jadi pastikan Harris Vertu Harmoni Jakarta menjadi pilihan anda sekiranya berkunjung ke Jakarta!