Hassan bin Thabit r.a, penyair Rasulullah SAW

Budaya Zalina Majid 05-Sep-2020
dreamstime_s_47445697
Hassan bin Thabit, penyair Rasulullah SAW © German Vogel | Dreamstime.com

(Terjemahan SalamWebToday bahasa Arab)

Insan ini mempertaruhkan diri dan puisinya untuk mempertahankan agama Allah SWT dan Rasulullah SAW. Nabi Muhammad amat memuji puisinya. Beliau adalah Hassan bin Thabit Al-Ansari r.a. Seorang penyair yang mulia dari kaum Ansar dan berasal dari suku Khazraj di Madinah.

Sebelum Islam, Hassan bin Thabit r.a merupakan penyair kepada raja-raja di Ghassan, sering berpeluang memperdengarkan madah puisinya yang memuji golongan raja. Setelah memeluk Islam, beliau menjadi penyair kepada Nabi Muhammad SAW. Hassan sentiasa akan bersama Rasulullah untuk membela dan mempertahankan Islam. Beliau meninggal dunia ketika pemerintahan Khalifah Saidina Ali bin Abi Talib r.a.

Hassan bin Thabit r.a di lahirkan di Madinah lapan tahun sebelum kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW. Penyair hebat ini disifatkan sebagai orang bandar dari keluarga yang berkedudukan mulia dan dihormati. Beliau hidup selama 60 tahun bersama Islam dan tempoh yang sama sebelum Islam. Ini bermakna beliau meninggal pada usia 120 tahun.

Hassan bin Thabit r.a adalah putera kepada Bani Najjar, merupakan bapa saudara datuk Nabi Muhammad SAW iaitu Abdul Mutalib bin Hasyim r.a. Bapanya, Thabit Ibn al-Munzir Al-Khazraji merupakan seorang pembesar dan ketua kepada kaumnya. Bonda Hassan pula berasal dari Khazraj bernama al Fazi’a binti Khanis bin Luzan bin Ab’dun.

Ketika Kota Madinah masih di zaman kegelapan, berlaku suatu konflik yang getir antara dua suku yang paling berpangaruh iaitu Aus dan Khazraj.  Setiap suku mempunyai penyair yang mempertahankan, mengabadikan perjuangan dan kemenangannya. Adapun Hassan bin Thabit r.a adalah penyair bagi kaum Khazraj. Manakala Qais bin Al-Khatim adalah penyair kepada kaum Aus. Di sinilah puisi Hassan mula berkembang dan mendapat tempat di seluruh tanah Arab.

Hassan bin Thabit al-Ansari r.a menggunakan dirinya sebagai perisai untuk melindungi Nabi Muhammad SAW. Dia akan berdiri dan bermadah memuji Baginda dengan berani mempertahankan dari musuh-musuh Islam dengan kekuatan syairnya. Manakala orang-orang musyrikin tidak putus mencela dan mengaibkan Baginda.

Justeru, Hassan bin Thabit r.a dikenali sebagai seorang pembela puitis, insan yang mendokong perjuangan Rasulullah serta mampu membakar semangat kaum muslimin ketika peperangan. Hassan bin Thabit telah berkahwin dengan seorang gadis bernama Sirin binti Sam’un dan memeluk Islam.

Semoga Allah SWT merahmati dan memberi ganjaran pengorbanan Hassan bin Thabit al-Alnsari r.a untuk Islam dan umat Islam seluruhnya.