Heart for Heart Fun Run- Usaha Murni Dekati Masyarakat

Penganjuran acara larian santai Heart for Heart buat tahun ketiga pada kali ini oleh Kumpulan Megaklinik Zahran menyaksikan sambutan yang menggalakkan daripada sejumlah 1,500 peserta daripada pelbagai peringkat masyarakat.

Berbanding sebelum ini, acara juga turut dimeriahkan dengan penglibatan golongan artis yang hadir memberi sokongan dalam usaha menghangatkan lagi kempen amalan gaya hidup sihat oleh pihak penganjur.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Megaklinik Zahran, Nafidz Razak, penganjuran acara larian tersebut adalah salah satu inisiatif pihaknya untuk mendekati pelanggan termasuk masyarakat setempat.

Jika dilihat, belum ada lagi mana-mana klinik yang menganjurkan program menarik seperti ini dan hanya beroperasi sebagai sebuah klinik kesihatan semata-mata.

“Satu prinsip yang saya pegang, mahu menjadi yang pertama dalam apa juga perkara dan salah satunya menerusi usaha ini.

“Kami mahu bergerak sebagai sebuah klinik atau jenama yang berbeza daripada yang lain yang mampu memberi khidmat pada masyarakat dalam cara tersendiri,”katanya.

Menyentuh mengenai sambutan, menurut Nafidz, meski sebelum ini cuma dianjurkan untuk masyarakat setempat, tahun ketiga menyaksikan banyak penglibatan daripada peserta di luar daerah.

Selain itu, Nafidz juga memuji sokongan yang diberikan oleh beberapa selebriti yang hadir dengan antaranya termasuk Ashraff Muslim, Ikhwan Fattana termasuk rakan-rakan artis dakwah di bawah naungan Badak United.

Kekuatan kami adalah menerusi pelanggan korporat selama ini. Tetapi, kami percaya dalam usaha untuk mengembangkan lagi jenama dalam masa yang sama, lebih dekat dengan masyakarat, program juga harus dilakukan secara menyeluruh.

“Ia termasuklah menerusi penglibatan golongan artis, selebriti media sosial dan juga pihak media apalagi dalam penganjuran program menarik, santai dan menyeronokkan seperti ini.

“Bukan itu sahaja, kami juga mahu terus membawa dan mengangkat mesej hebatnya jenama Melayu, hebatnya jenama Islam hingga ke peringkat luar sementelah sesuai dengan imej kami sebagai klinik bumiputera dan Islamik pertama di Malaysia,”katanya.

Kongsi Nafidz lagi, pihaknya juga terharu kerana acara larian kali ini turut mendapat perhatian YB Ahli Dewan Undangan Sungai Ramal, Mazwan Johar yang Bersama-sama turun padang dalam acara larian sekali gus merasmikan program yang juga dihoskan oleh pengacara Radin dan Faliq.

Dalam perkembangan lain, Nafidz menjelaskan Megaklinik Zahran juga telah merangka program menarik menjelang hujung tahun ini menerusi penganjuran Mega Sunathon dengan sasaran lebih 1,000 kanak-kanak lelaki akan dikhatankan dalam tempoh sebulan.

Dalam pada itu, selain acara larian, 81 peserta yang mengikuti kempen Heart For Heart Fun Run kali ini juga membawa pulang pelbagai hadiah menarik dan lumayan dengan keseluruhannya bernilai RM25,000.

Antara hadiah utama termasuk pakej percutian ke Bali, Indonesia dan barangan kelengkapan rumah seperti sebuah peti sejuk dan televisyen 40 inci.

Hadiah wang tunai juga disediakan untuk setiap kategori lelaki dan wanita (3KM & 5KM,10KM) bernilai RM8,000.

Megaklinik Zahran mempunyai lima cawangan di Selangor iaitu di Seksyen 7, 8 & 9 Bandar Baru Bangi, Bandar Teknologi Kajang dan Bandar Tun Hussein Onn.

Juga memiliki sebuah cawangannya di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, Megaklinik Zahran juga sedang merangka operasi di cawangan baharu bermula awal tahun depan di beberapa lokasi lain termasuk Cyberjaya, Putrajaya, Melaka dan Johor Bharu.