Hendak cuba sentuh, beri makan gajah? Datanglah ke Kuala Gandah

Alam Sekitar 10 Apr 2021 Md Wa'iz
Md Wa'iz
Hendak cuba sentuh, beri makan gajah? Datanglah ke Kuala Gandah
Hendak cuba sentuh, beri makan gajah? Datanglah ke Kuala Gandah © Dinictis | Dreamstime.com

Tiada siapa yang berani untuk melihat gajah secara liar di dalam hutan. Namun, anda berpeluang untuk melihat malah memberi makan kepada gajah-gajah di satu lokasi ini. Lokasi tersebut ialah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan yang terletak di Temerloh, Pahang.

Apa yang ada di sana?

Fungsi utama penubuhan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan

Sebenarnya, pusat konservasi gajah ini bukanlah seperti zoo haiwan yang lain. Pusat ini ditubuhkan dengan tujuan untuk menangkap dan memindahkan gajah-gajah liar di seluruh Semenanjung Malaysia.

Kebanyakan gajah-gajah liar yang ditangkap dan dipindahkan ini adalah gajah yang telah kehilangan habitat asalnya. Untuk mengelakkan berlakunya serangan gajah terhadap orang awam atau harta benda yang lain, maka gajah-gajah ini ditangkap dan dilepaskan semula di tempat yang lebih selamat.

Biasanya ia akan dilepaskan di kawasan taman negara atau taman negeri.

Ada ‘gajah pemujuk’ di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan

Pun begitu, ada sesetengah daripada gajah-gajah yang cedera akan dibawa ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan ini untuk dirawat. Pusat konservasi ini akan merawat mana-mana gajah liar atau gajah denak yang tercedera.

Selain daripada itu, ada juga gajah-gajah yang menetap di pusat konservasi ini secara kekal kerana tugasnya yang unik. Gajah pun ada tugasnya juga? Ya, gajah-gajah yang tinggal di pusat konservasi ini dilatih untuk menjadi gajah pemujuk.

Fungsi gajah pemujuk ini adalah untuk memujuk mana-mana gajah liar semasa proses tangkapan dan pemindahan dijalankan. Jika ada panggilan tugas untuk menangkap gajah liar di kawasan Semenanjung Malaysia, gajah-gajah pemujuk terlatih ini akan dibawa bersama dengan menaiki sebuah trak khusus.

Kewujudan gajah pemujuk ini sememangnya banyak membantu usaha memindahkan gajah yang semestinya sangat sukar jika hanya bergantung kepada kudrat manusia.

Selain gajah pemujuk terlatih, ada juga gajah-gajah lain yang merupakan gajah pelapis untuk tugas tersebut. Gajah-gajah pelapis akan dilatih untuk menjadi gajah pemujuk di sekitar kawasan pusat konservasi ini.

Anda boleh mandi dan bermain bersama gajah ini

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan ini dibuka kepada orang ramai yang berhasrat untuk melihat gajah dengan lebih dekat. Jika berkunjung ke sini, anda berpeluang untuk memberi makan gajah dengan tebu yang telah disediakan.

Sambil-sambil anda memberi makan mereka, anda juga boleh menyentuhnya (jika anda berani!). Anda juga berpeluang untuk memandikan gajah di sungai berdekatan.

Buat masa ini, tiada bayaran kemasukan dikenakan kepada mereka yang datang melawat. Namun, anda boleh menderma kepada tabung pusat konservasi tersebut.

Bagaimana untuk ke pusat konservasi ini?

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan ini terletak di Kuala Gandah, Temerloh, Pahang. Jika anda dari arah Kuala Lumpur, ia akan mengambil masa sekitar dua jam perjalanan melalui Lebuh Raya Timur Barat.

Anda perlu keluar ke persimpangan Lanchang dan teruskan pemanduan ke arah Raub. Dalam perjalanan tersebut, anda akan dapat melihat papan tanda jalan yang menunjukkan arah ke pusat konservasi ini.

Jalan ke pusat konservasi ini akan melalui perkampungan Orang Asli memandangkan ia terletak di kawasan hutan.

Pusat pendidikan alam untuk anak anda

Pusat konservasi ini amat sesuai sebagai satu pusat pembelajaran luar kelas bagi anak-anak anda. Di sini, anda dapat mengajar anak anda berkenaan usaha melindungi haiwan liar khususnya gajah.

Secara tidak langsung, ia akan mendidik kanak-kanak untuk mencintai flora dan fauna.