Hentikan jeritan anak tanpa perlu menjerit

Kehidupan Chan Abdullah 01-Mei-2020
Layan anak sebaik mungkin © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Anak adalah anugerah Allah SWT yang tak ternilai harganya. Kasih dan sayangnya ibu bapa terhadap anak-anak sehingga kita sanggup berkorban dan berusaha sebaik mungkin bagi memenuhi kehendak dan impian mereka. Namun, kerap kalinya kita juga diuji dengan kerenah dan perangai anak-anak kita.

Bermulanya Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu telah menambah cabaran buat ibu bapa. Lebih-lebih lagi jika anda ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Memang mencabar, mana nak melayan kerenah anak dan dalam masa yang sama masih perlu bekerja dan menguruskan hal di rumah.

Jeritan anak-anak sudah pastinya kedengaran di dalam rumah. Kepada para ibu dan ayah, harap dapat bersabar, ya. Usahlah kita balas jeritan anak-anak dengan jeritan. Untuk membantu anda, lihat senarai beberapa langkah yang boleh diambil untuk menangani anak-anak yang suka menjerit.

  • Fahami dulu kenapa anak-anak anda menjerit – Kebiasaannya, anak-anak menjerit apabila mereka rasa takut, sakit dan juga inginkan perhatian. Bagi dunia mereka, semakin kuat jeritan mereka, semakin tinggi peluang mereka didengari. Walaupun pedih untuk dinyatakan, tetapi kerap kali anak-anak belajar daripada mengikut perbuatan yang sering ibu bapa lakukan. Jadi, jangan terus balas jeritan mereka dengan jeritan.
  • Tenangkan diri anda terlebih dahulu – Cuba kawal pernafasan. Tarik nafas menggunakan hidung dan hembus nafas mengunakan mulut. Di samping itu, cuba berselawat sebanyak mungkin bagi membantu menenangkan diri. Bila kita sudah tenang, lebih mudah untuk melayan anak anda.
  • Tanya soalan kepada anak anda – Dengan nada yang lembut, tanya anak anda kenapa beliau menjerit. Adakah kerana sakit, takut ataupun inginkan perhatian? Biasanya, apabila ditanya dengan lemah lembut, jeritan dan raungan mereka juga akan berkurangan.
  • Jawab dan terangkan fakta kepada anak anda – Pada waktu ini, kita tidak boleh memaksa anak untuk menghentikan jeritannya. Fokus terus kepada apa yang anda ingin tanam di dalam mindanya. Ketika mereka sedang menjerit-jerit, kemungkinan mereka berada dalam minda separuh sedar. Gunakan pendekatan lemah lembut. Sebagai contoh: “Ibu tak suka dengar Adam menjerit. Jerit tak bagus. Jerit Allah tak sayang. Adam nak Allah sayang Adam, kan?”
  • Minta izin pada anak untuk peluk – Sambil peluk ibu bapa boleh cuba bacakan doa yang ringkas, mohon bantuan Allah SWT. Gunakan bahasa yang mudah dan boleh difahami anak.

Tidak mengapa jika anak masih tidak berhenti menjerit dan menangis. Jangan selalu diturut permintaan mereka setiap kali mereka menjerit dan menangis, ini tidak betul. Bersabar dan teruskan mencuba kaedah yang dikongsikan.

Pada musim COVID-19 ini, mungkin anak-anak terasa mahu meluangkan lebih masa berkualiti dengan ibu bapa. Sambil bekerja dari rumah, ambillah kesempatan untuk selalu beri perhatian kepada anak-anak anda. Anda juga boleh cuba kerap memeluk anak-anak anda.

Anak-anak adalah amanah Allah SWT kepada kita. Insya-Allah, marilah kita sama-sama mendidik mereka ke jalan yang diredai Allah.