Hentikan pembakaran terbuka!

Alam Sekitar Hannan
Hannan
Hentikan pembakaran terbuka!
Hentikan pembakaran terbuka! © Sarapon | Dreamstime.com

Pembakaran terbuka bukanlah sesuatu yang baharu bagi negara kita. Selalunya, apabila berlakunya pencemaran udara seperti jerebu, kita cepat menunding jari ke arah negara jiran. Kononnya, merekalah yang sering melakukan pembakaran sehingga mencemarkan udara kita.

Walau bagaimanapun, kita sering terlupa bahawa kita sendiri banyak melakukan aktiviti pembakaran terbuka di belakang rumah setiap hari. Malah, aktiviti ini juga dilihat sebagai sesuatu yang normal dan bukannya satu kesalahan yang serius.

Tahukah anda, aktiviti pembakaran terbuka mempunyai kesan yang amat besar terhadap kesihatan diri dan juga alam sekitar? Teruskan pembacaan jika anda ingin tahu kesan pembakaran terbuka dan cara terbaik untuk menanganinya.

Apakah maksud pembakaran terbuka?

Pembakaran terbuka bermaksud tindakan membakar bahan-bahan buangan seperti sampah, plastik dan daun-daun kering di tempat yang terbuka. Amalan ini bukan sahaja berbahaya terhadap alam sekitar, malah ia juga boleh membuatkan kesihatan manusia merosot.

Bahan-bahan yang dibakar ini berpotensi untuk mencemarkan udara dengan bahan kimia toksik. Mungkin ramai yang tertanya-tanya, mengapa kita perlu berhenti melakukan pembakaran terbuka? Bukankah ia sesuatu yang normal terutamanya di kawasan kampung?

Seperti yang kita tahu, sampah yang dibuang pada masa sekarang berbeza dengan dahulu. Kini, kita lebih banyak membuang plastik dan kertas yang mengandungi pelbagai jenis bahan kimia. Apabila dibakar, semua bahan ini akan dilepaskan terus ke udara tanpa sebarang rawatan.

Malah, pencemaran yang dicetuskan oleh pembakaran terbuka bukannya terhenti di situ sahaja. Racun yang terhasil boleh bertindak mencemarkan sumber air dan meresap ke dalam tanah.

Malah, racun ini boleh berkumpul di dalam tisu lemak haiwan seperti ikan, ayam dan itik. Proses yang dikenali dengan nama bioakumulasi (bioaccumulation) ini membuatkan makanan yang kita makan sekarang menjadi toksik dan beracun!

Elakkan pembakaran terbuka

Mungkin pada hari ini, kita tidak begitu terkesan dengan pembakaran terbuka. Namun, kita tidak pasti apa yang akan berlaku kepada generasi akan datang. Ditambah pula dengan pemanasan global, aktiviti pembakaran terbuka hanya akan membawa lebih banyak keburukan.

Oleh sebab itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu menghentikan amalan ini. Sebenarnya, ada banyak langkah yang boleh anda lakukan untuk membanteras pembakaran terbuka. Antaranya ialah:

1. Jadilah jiran yang baik

Pembakaran terbuka boleh dielakkan jika kita mengambil langkah untuk berhenti melakukannya. Namun, jika anda benar-benar terpaksa membakar sesuatu, pastikan anda fikir tentang kemaslahatan jiran-jiran anda terlebih dahulu.

Kadangkala, kita tidak sedar amalan membakar sampah sebenarnya membawa mudarat kepada jiran tetangga. Malah, asap yang terhasil juga akan menyebabkan masalah kesihatan terutamanya kepada mereka yang menghidap asma.

2. Amalkan kitar semula

Cuba periksa tong sampah anda. Berapa banyakkah bahan yang boleh dikitar semula? Jika anda tidak pernah mengasingkan sampah anda sebelum ini, inilah masa yang terbaik untuk mempraktikkannya.

Daripada membakar sampah tersebut, cuba asingkannya dan hantarkan bahan-bahan tersebut ke pusat kitar semula yang berdekatan. Barang-barang lain seperti baju, perabot, buku-buku dan majalah yang tidak digunakan pula boleh didermakan kepada mereka yang memerlukan.

3. Sebarkan kesedaran mengenai pembakaran terbuka

Kadangkala, mereka yang melakukan pembakaran terbuka tidak tahu apa yang mereka lakukan itu merupakan sesuatu yang salah. Malah, mereka juga mungkin tidak tahu keburukan yang berlaku disebabkan aktiviti tersebut.

Oleh sebab itu, kerajaan haruslah mengerakkan usaha yang sewajarnya untuk membanteras pembakaran terbuka. Mereka haruslah menggalas tanggungjawab untuk mengajar rakyat cara yang terbaik untuk menguruskan sampah masing-masing.