Hidangan Aidilfitri dari dunia Muslim

Dunia 26 Mei 2020 Abi Aasim
Turkish Delights atau Lokum © Saletomic | Dreamstime.com

Artikel Hidangan Aidilfitri dari dunia Muslim ini akan memaparkan gambaran Hari Raya Aidilfitri yang disambut dengan pelbagai amalan dan kelaziman mengikut negara dan budaya yang tersendiri. Antara amalan tradisi yang lazim ialah menghidangkan makanan untuk santapan para tetamu yang datang berziarah.

Lemang, ketupat dan rendang sudah pastinya menjadi hidangan utama di Malaysia. Bagaimana pula dengan masyarakat di negara lain yang menyambut hari raya? Mari ketahui lebih lanjut tentang hidangan Aidilfitri di negara-negara Muslim terpilih seluruh dunia.

Hidangan Aidilfitri dari dunia Muslim

Kahk

Kahk adalah hidangan Aidilfitri yang disajikan oleh masyarakat Islam negara Sudan dan Mesir. Hidangan Kahk ialah sejenis biskut berbentuk bulat yang disaluti dengan gula. Ia turut mempunyai inti daripada campuran kekacang, kurma dan madu.

Cambaabur

Cambaabur juga dikenali sebagai roti hari raya Somalia. Sajian Cambaabur ialah sejenis makanan seperti lempeng yang nipis. Ia diperbuat daripada pelbagai jenis bahan seperti kunyit, tepung dan zaffaran (saffron). Setelah dimasak, Cambaabur biasa di makan bersama yogurt dan gula.

Tajine

Tajine ini ialah sejenis masakan rebusan yang menggunakan daging lembu atau kambing. Makanan ini terkenal di negara Afrika seperti Mahgribi dan juga Algeria. Nama Tajine ini sebenarnya diambil daripada periuk tanah liat yang digunakan untuk memasak makanan ini. Tajine ini biasanya dimakan bersama-sama dengan roti.

Doro Wat

Doro Wat ialah sejenis masakan dari Ethiopia. Masakan ini seperti sejenis kari ataupun rebusan (stew). Hidangan ini kebiasaannya menggunakan ayam sebagai bahan utama dan dihidangkan dengan sejenis roti Afrika yang bernama Injera.

Lokum

Lokum ialah sejenis manisan yang berasal daripada negara Turki. Ia juga lebih dikenali sebagai ‘Turkish Delights’ di dalam bahasa Inggeris. Lokum mempunyai tekstur seperti jeli. Ianya disalut dengan gula dan mempunyai campuran pelbagai bahan seperti badam dan kurma. Bagi pencinta manisan, lokum adalah makanan yang perlu anda cuba.

Sheer Kurma

Juadah Sheer Kurma ini dikenali juga sebagai susu dengan kurma. Sheer Kurma ini adalah hidangan Aidilfitri yang sangat popular di Bangladesh, Afghanistan, India dan Pakistan. Hidangan ini ialah sejenis manisan yang dihasilkan menggunakan susu, bihun, kurma dan gula.

Meriah dan unik sungguh hidangan Aidilfitri dari seluruh dunia ini. Mungkin Aidilfitri tahun ini anda boleh cuba menghidangkan salah satu juadah dari serata dunia ini sebagai hidangan Aidilfitri anda.