Hidangan Ikan Bakar untuk anda!

Makanan Hanita Hassan 17-Sep-2020
dreamstime_s_57609051
Enaknya ikan bakar! © Dollymj | Dreamstime.com

Bagi suri rumah yang terpaksa memikirkan masak apa hari ini, ikan bakar boleh dijadikan menu sihat untuk hidangan sekeluarga selain ayam dan daging. Pilihan ikan bergantung kepada cita rasa anda. Boleh sahaja gunakan ikan cencaru, kembung, pari atau siakap selain ikan kerapu dan talapia merah. Hidangan ikan bakar bukan sahaja mudah tetapi juga menyelerakan.

Sebelum membakar ikan, anda perlu menyediakan sambal untuk dipupuk pada ikan. Sediakan dahulu bahan-bahan sambal seperti bawang kecil dan bawang putih serta cili. Kemudian kisar bahan-bahan tadi dengan sedikit belacan. Tumis bahan kisar dalam minyak yang sederhana sehingga sambal pecah minyak dan garing.  Belacan akan mengurangkan rasa pedas serta menambah rasa pada sambal. Tambah perasa, gula dan garam secukupnya.  Untuk kelainan, boleh juga ditambah rempah pada sambal tadi.

Biarkan sambal sejuk kemudian ratakan pada ikan pilihan anda di sekelilingnya.  Perah limau bagi keseimbangan rasa. Kemudian untuk menambah aroma pada ikan, balut dengan daun pisang yang sudah dilayur dan letak atas kuali leper.  Jika tiada daun pisang, anda boleh menggantikan dengan pembalut aluminium.  Bakar ikan dalam masa 20 ke 30 minit atau sehingga ikan masak, ia bergantung kepada api dan kepanasan dapur. Sebagai altenatif boleh juga dibakar menggunakan ketuhar.

Sekiranya anda berhasrat menjamu tetamu istimewa, anda boleh membawa mereka ke restoran ikan bakar popular yang terdapat banyak di Melaka.  Antara kedai atau restoran ikan bakar yang dicadangkan seperti Medan ikan bakar Muara Sungai Duyung, ikan bakar Parameswara atau ikan bakar Pernu Umbai, medan ikan bakar Alai Crystal Bay, ikan bakar klasik terapung Umbai Baru dan restoran ikan bakar terapung Fort Supai, Kuala Linggi.

Ikan bakar Muara Sungai Duyung antara restoran ikan bakar yang wajib dikunjungi jika ke Melaka. Pelbagai hidangan makanan laut ditawarkan di sini. Tepuk dada tanya selera apa yang teringin. Lokasinya terletak di Permatang Pasir, Jalan Padang Temu. Kedai ini dibuka setiap hari dari jam lima petang hingga 12 malam.

Hidangan yang ditawarkan di sini ialah dari jenis ikan, sotong, udang, ketam dan siput. Biasanya untuk ikan, anda boleh memilih sama ada ikan cencaru, kembung, pari, siakap atau jenahak bergantung kepada bajet anda. Cadangan hidangan adalah dibakar kosong atau dengan sambal dan dihidang dengan cicahan air asam atau kicap pedas.

Hidangan ikan juga sedap dimasak tiga rasa yang agak masam manis dan pedas dari rasa cili padi atau masakan popular Melaka iaitu asam pedas. Biasanya hidangan asam pedas sedap dimakan bersama nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman. Harga yang ditawarkan juga berpatutan serta menu lautnya segar.

Bagi peminat siput, anda boleh memilih pelbagai jenis dari kupang, kerang, kepah, sepahat dan siput sudu untuk hidangan pembuka selera. Ia boleh dimasak masam manis atau bersama lada hitam. Manakala hidangan sotong enak jika digoreng tepung dan udang pula dimasak bersama mentega.

Sekiranya bajet anda kecil, beli sahaja ikan atau makanan laut dan masak sendiri di rumah. Ia lebih bersih, selamat, halal dan menjimatkan. Selamat menjamu selera.