Hidup bersatu padu walau berbeza agama dan budaya

Masyarakat Hannan
Pilihan oleh Hannan
Hidup bersatu padu walau berbeza agama dan budaya
Hidup bersatu padu walau berbeza agama dan budaya © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Sebagai rakyat Malaysia, kita sudah biasa hidup bersatu padu. Malah, perpaduan antara kaum merupakan sesuatu yang menjadi kebanggaan kita bersama.

Kita bukan sahaja mampu bertoleransi antara satu sama lain dan hidup bagaikan isi dan kuku, perbezaan ini juga diraikan dan merupakan antara kunci perpaduan kita sebagai rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, sebagai manusia biasa, pergaduhan, prasangka dan rasa iri hati antara satu sama lain juga bukanlah sesuatu yang asing.

Kita dapat lihat di negara lain, isu yang sensitif dan menyentuh perbezaan antara agama dan kaum sering mendapat liputan media. Persengketaan ini bukanlah sesuatu yang kecil, ia juga boleh membantutkan ekonomi dan juga politik negara berkenaan.

Santuni bukan Islam, pupuk hidup bersatu padu

Sebenarnya, perpaduan dan kerjasama antara kaum amat digalakkan di dalam Islam sendiri. Malah, Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Hujurat yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan serta Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku supaya kamu berkenalan (dan beramah mesra). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa antara kamu. Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Surah al-Hujurat, ayat 13)

Nabi Muhammad SAW sendiri bertindak menyantuni mereka yang bukan Islam. Malah, baginda banyak menonjolkan kebijaksanaan beliau dalam menyelesaikan masalah untuk menarik minat mereka daripada agama lain.

Buktinya ada pada Piagam Madinah yang digubal oleh Rasulullah SAW untuk memayungi rakyat majmuk di bawah pemerintahannya. Malah, tujuan utama perlembagaan ini adalah untuk mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan penduduk Madinah.

Selain itu, sikap saling bertoleransi antara satu sama lain juga amat digalakkan walaupun kita berbeza agama dan juga bangsa. Bukankah berbuat baik itu disukai Allah SWT?

Jangan biarkan sejarah berulang

Masihkah anda ingat pada tragedi berdarah tanggal 13 Mei? Tarikh ini menjadi saksi peristiwa rusuhan kaum paling dahsyat di negara kita. Dicatatkan hampir 196 nyawa telah terkorban pada waktu ini. Walau bagaimanapun, jumlah kematian sebenar dianggarkan lebih tinggi.

Sama jugalah dengan peristiwa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada tahun 2018. Untuk pengetahuan anda, Institut Kajian Strategik Malaysia (Myriss) mendapati hampir 53% setuju indisen ini mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah, timbul juga rasa tidak selesa dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila seorang pegawai bomba meninggal dunia di dalam rusuhan tersebut.

Disebabkan peristiwa sebeginilah, kita seharusnya berganding bahu lebih erat daripada sebelumnya. Sudah pasti kita tidak mahu sejarah ini berulang kembali pada masa hadapan.

Bagaimana untuk terus kekal bersatu padu?

Sebenarnya, ada banyak cara untuk memupuk semangat muhibbah dalam kalangan masyarakat.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lebih mudah untuk generasi masa hadapan belajar untuk bertoleransi jika mereka sudah dididik sejak kecil.

Apa yang penting, kita perlulah saling hormat menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan juga bangsa. Jika kita semua mengamalkan sifat ini, tidak mustahil kita boleh kekal bersatu padu walau berbeza kaum dan juga agama.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.