Hidup hari ini bukan masa silam atau masa hadapan

Kehidupan Nur Adibah Ramly 21-Sep-2020
young woman close up
Hidup hari ini bukan masa silam atau masa hadapan © FootageUA | Dreamstime.com

Sebagai umat Islam, amat penting bagi kita menikmati kehidupan hari ini daripada terlalu memikirkan masa silam atau tertekan dengan masa hadapan. Apabila terlalu memikirkan masa silam dan masa hadapan sehingga kerap kali termenung sebenarnya boleh mengalih tumpuan kita untuk memperbaiki diri menjadi seorang yang beriman.

Kita akan kehilangan fokus akan tujuan hidup di dunia. Sebaliknya, kita hendaklah berusaha menerima apa yang tidak dapat kita ubah dan fokus kepada perkara yang boleh kita lakukan. Kita bertaubat kepada Allah SWT di atas dosa-dosa yang telah kita lakukan dan berusaha meningkatkan seberapa banyak kebaikan setiap hari.

Sesungguhnya kehidupan yang dikurniakan Allah SWT adalah sebuah perjalanan, justeru berhati-hati supaya kita tidak terlalu mengejar kejayaan di dunia. Apabila kita mempunyai mentaliti begitu, sudah tentu tumpuan kita akan hanya mengejar kejayaan sahaja dan bukan untuk memperbaiki perjalanan hidup kita.

Setiap kali mencapai kejayaan, kita akan berasa gembira, tetapi setelah beberapa ketika kita kembali berasa kehilangan. Kemudian kita meletakkan semula hasrat untuk mencapai kejayaan lain pula – maka kitaran ini akan berterusan dan tidak berkesudahan.

Kita mungkin  melalui kehidupan ini tanpa sedar bahawa inilah yang telah kita lakukan sepanjang hidup. Tumpuan kita seharusnya untuk memperoleh keredaan Allah SWT sepanjang perjalanan ini – dan bukan terlalu mengejar matlamat duniawi.

Berhati-hati supaya kita tidak berputus asa disebabkan masa silam. Ini hanya akan menyebabkan kita terganggu daripada memperbaiki diri  dan sebagai seorang yang beriman.

Firman Allah SWT dalam al-Quran: “Katakanlah: Hai  hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah diri kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (Surah Az Zumar, ayat 53-54)

Selain daripada itu, kita juga jangan terlalu memikirkan tentang masa hadapan sehingga membuang banyak masa, sedangkan kita harus melakukan kebaikan hari ini.  Kita usah terlalu memikiran dan merancang masa hadapan, sehingga lupa bahawa fokus utama adalah Allah SWT. Dengan meletakkan fokus utama kepada Allah SWT hari ini sebenarnya dapat membantu.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah Ath Thalaaq, ayat 3)

Sebagai seorang yang beriman, usah membiarkan diri  obses dengan harta benda dan cita-cita duniawi. Sudah tentu, ia adalah sebahagian daripada agama untuk mendorong  kita menjadi yang terbaik di dunia, tetapi pastinya ia tidak sehingga melemahkan iman.

Allah SWT bersabda dalam al-Quran: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barangsiapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah Al Munaafiquun, ayat 9)