Hijab dan tradisi menutup aurat

Fesyen Hanita Hassan 24-Apr-2020
Hijab dan dua wanita Melayu © Willy Sebastian | Dreamstime.com

Hijab atau sinonim dengan tudung bukan asing atau janggal didengar.  Bagi wanita Melayu di Malaysia, ia adalah tradisi dan adat yang sangat lama dan tua dalam budaya Melayu.  Pemakaian hijab adalah praktis yang telah menjadi norma di negara-negara yang majoritinya muslim dan sebilangan penduduk bukan muslim di seluruh dunia. Berhijab adalah satu penghormatan yang tersendiri ke atas keperibadian anda sebagai pemakainya.

Islam mewajibkan perempuan yang sudah mencapai usia baligh untuk menutup auratnya. Pemakaian hijab bukan sekadar aturan disiplin yang perlu dibuat untuk memperlihatkan diri sebagai seorang Islam, malah pemakaiannya adalah sebuah keindahan yang bermaksud ketenangan dalam kehidupan.

Perkembangan gaya hijab yang dipengaruhi berbagai unsur budaya masyarakat telah mewujudkan aliran makna dalam keindahan seni dan mod berbusana. Fesyen hijab dengan kreativiti para pereka telah memenuhi sebahagian daripada tuntutan zaman terutama dalam zaman pasca modenisme. Kalau dahulu wanita bertudung dianggap kolot dan ketinggalan zaman.  Berbeza hari ini, dengan kemunculan pelbagai trend dan fesyen tudung di pasaran telah mendorong lebih ramai wanita memakai hijab.

Islam telah menggariskan satu panduan khusus kepada wanita muslimah yang meliputi perkara-perkara seperti adat, ibadat dan peribadi dari pelbagai aspek.  Menutup aurat diwajibkan kepada anda sebagai wanita muslimah.  Antara tujuan dan hikmahnya adalah untuk menghindari daripada fitnah dan perkara yang boleh mencemar maruah.

Syariat menutup aurat bagi wanita muslimah ialah untuk memelihara ketinggian nilai dan membezakan anda dengan wanita lain yang tidak begitu memahami atau mementingkan nilai kemuliaan kaum Hawa.  Ia juga dapat mengelakkan anda  daripada terdedah kepada sebarang gangguan nyata atau nakal yang tidak diingini.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 59:  “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Kita sedar dan faham bahawa aurat wanita wajib dilindungi daripada pandangan ajnabi (orang yang boleh berkahwin dengannya). Justeru, sebagai wanita dan ibu yang menjaga hal ehwal rumah tangga, ajarilah anak-anak perempuan anda memakai tudung sejak kecil supaya ia menjadi budaya yang wajib dipatuhi.  Apa sekalipun, anda sebagai ibu  hendaklah memainkan peranan dan mengambil langkah pertama untuk memulakannya.