Hijab mengangkat martabat wanita

Sahsiah Abi Aasim 03-Jul-2020
Berhijab dalam pelbagai aktiviti © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Jelas dan nyata, bagaimana hijab mampu memelihara kesucian wanita muslimah. Bertudung bukan sekadar menutup rambut semata-mata malah ianya perlu dipakai dengan sempurna dengan cara melabuhkan tudung hingga ke dada.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nur, ayat 31: “Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka.”

Wanita muslimah diwajibkan untuk menutup aurat dengan sempurna. Tiada halangan untuk wanita muslimah menggayakan tudung mengikut kepada fesyen bertudung terkini. Namun, harus diingat tentang perintah Allah SWT yang menyuruh agar wanita muslimah untuk  menutup aurat dengan sempurna.

Sejajar peredaran zaman yang lebih moden, fesyen tudung juga tidak ketinggalan mengalami perubahan yang mendadak. Namun berhati-hatilah. Jangan dek kerana mengikut perkembangan semasa, hijab yang dipakai tidak sempurna dan tidak mematuhi syarak pula.

Allah SWT mensyariatkan kewajipan menutup aurat buat lelaki dan wanita. Bagi wanita, auratnya adalah dari kepala hingga ke kaki kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Namun di dalam dunia Islam, Hijab sudah menjadi kelaziman wanita bagi menutup aurat di bahagian rambut dan kepala serta dilabuhkan melepasi bahagian dada.

Dengan penjagaan aurat yang sempurna serta pemakaian hijab yang mematuhi syarak, ia mampu memelihara kesucian wanita.

  • Melindungi daripada mempamerkan perhiasan diri – Tanpa sedar, begitu banyak mata-mata liar yang memerhatikan kaum Hawa apabila anda berada di luar rumah. Sudah pasti kaum Hawa tidak dapat menutup mata setiap yang memandang.

Hijab inilah yang mampu menutup pandangan mata sekeliling daripada meliar melihat perhiasan para  wanita. Boleh jadi, pandangan yang dilemparkan  boleh mendatangkan nafsu dalam diri yang melihat sekaligus menimbulkan kemudaratan.

  • Membentuk sifat takwa – Apabila berhijab dengan sempurna, secara tidak langsung ianya langkah awal yang menjadi muslimah yang bertakwa dan membentuk jati diri. Ketakwaan dapat memberikan kebaikan kepada diri sendiri. Ketakwaan dapat menjadikan hati dan jiwa lebih tenang serta mencegah diri daripada melakukan perbuatan sia-sia yang boleh mendorong kepada kemungkaran.
  • Melindungi diri daripada pandangan lelaki – Wanita menjadi tumpuan pandangan lelaki yang melihatnya. Oleh yang demikian, hijab itu mampu memelihara wanita daripada pandangan mata lelaki yang khianat dan berniat jahat.

Rasulullah SAW bersabda: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”

Wahai kaum Hawa, Allah SWT dan agama Islam telah memuliakan dan mengangkat martabat anda. Jadilah wanita solehah yang bakal menghuni syurga Allah yang hakiki.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!