Hijjas Kasturi – Bapa Senibina Malaysia

Seni MAS 04-Jun-2020
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya © Sharkphoto | Dreamstime.com

Salah satu kebanggaan Malaysia sebagai sebuah negara adalah apabila pernah mencatat sejarah memiliki bangunan pencakar langit tertinggi di dunia iaitu Menara Berkembar Petronas. Namun, tahukah anda bangunan tertinggi di Malaysia sebelum menara berkenaan siap pada 1998? Jawapannya adalah Menara Maybank.

Menara Maybank. Menara TM. Menara Citibank. Menara Standard Chartered. Bangunan Lembaga Tabung Haji, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Stadium Shah Alam. Sasana Kijang. Lanai Kijang. Selain merupakan antara struktur-struktur yang ikonik di Lembah Klang, tahukah anda persamaan di antara kesemua bangunan-bangunan tersebut? Jawapannya adalah Hijjas Kasturi Associates, firma arkitek yang bertanggungjawab ke atas reka bentuk bangunan-bangunan tersebut.

Pengasas firma arkitek Hijjas Kasturi Associates (HKA) ialah Hijjas bin Kasturi, nama besar yang telah berkecimpung dalam dunia senibina selama lebih daripada lima puluh tahun. Hasil senibina beliau dalam gaya moden dan pascamoden ini sentiasa melahirkan kejayaan dari segi integrasi seni dan teknologi, di samping mencerminkan keprihatinan terhadap alam sekitar dan kepentingan sosial.

Hijjas Kasturi dilahirkan di Singapura pada tahun 1936. Mengharungi kehidupan sukar ketika Perang Dunia Kedua dan era penjajahan Jepun, beliau berjaya menamatkan pelajaran di peringkat menengah di Institut Raffles. Beliau kemudiannya mula bekerja pada 1956 sebagai pelukis pelan di Singapore Housing Trust.

Hijjas menerima Biasiswa Rancangan Colomba pada tahun 1958 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang senibina di Universiti Adelaide. Beliau kemudiannya menamatkan pengajian dari Universiti Melbourne, Australia pada tahun 1965 dengan Ijazah Sarjana Muda Senibina serta Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah.

Hijjas memulakan kerjayanya di Malaysia pada tahun 1967 sebagai ketua sekumpulan pakar yang bertanggungjawab menubuhkan program ijazah dalam bidang senibina di Institut Teknologi MARA (ITM), kini Universiti Teknologi MARA. Beliau merupakan peneraju pertama Sekolah Seni dan Senibina di institut berkenaan. Hijjas juga adalah perancang induk (master planner) untuk pembinaan kompleks Institut Teknologi MARA di Shah Alam.

Pada tahun 1977, beliau telah menubuhkan firma Hijjas Kasturi Associates (HKA). Antara projek terawal firma HKA yang berprofil tinggi adalah pembinaan Wisma Equity  di Jalan Ampang yang siap pada tahun 1982. Bangunan pejabat 11 tingkat tersebut memiliki struktur unik seakan-akan piramid terbalik. Hijjas kemudiannya diberi tanggungjawab mereka bentuk Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak. Bangunan ibu pejabat organisasi kebanggaan umat Islam di Malaysia tersebut siap dibina pada tahun 1984 dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Hasil-hasil kerja beliau telah menerima beberapa pengiktirafan dari pelbagai pihak. Beliau menerima Anugerah Kecemerlangan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) untuk Bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada  tahun 2000. Pada tahun 2001, beliau telah dianugerahkan Pingat Emas PAM yang merupakan penghargaan tertinggi bidang senibina Malaysia atas sumbangan luar biasa beliau dalam bidang tersebut. Beliau juga merupakan penerima Anugerah ASEAN (1990) atas sumbangan beliau kepada seni visual (senibina) dan Anugerah Ciptaan Tokyo (1998).

Dalam kebanyakan reka bentuk yang dirancang, beliau akan memastikan terdapatnya elemen dan identiti Malaysiana dan juga ciri-ciri budaya setempat. Contoh ini dapat dilihat menerusi reka bentuk Bangunan Lembaga Tabung Haji yang memiliki lima tiang berunsur menegak sebagai melambangkan lima rukun Islam yang merupakan agama rasmi Malaysia.

Dalam reka bentuk Menara TM pula, ia jelas menyerupai pucuk buluh muda, sejenis tumbuhan yang tidak asing lagi di negara ini. Maka tidak hairanlah jika mercu tanda korporat tersebut juga dikenali sebagai Menara Rebung. Pembinaan Kelab Kapal Layar Diraja Selangor pula diinspirasikan daripada bumbung rumah tradisional orang Melayu.

Selain dari Malaysia, Hijjas Kasturi Associates (HKA) juga terlibat dengan projek-projek di luar negara. Di Indonesia, firma HKA menjalankan perancangan projek pusat pentadbiran ‘Kota Mandiri’ di Padang Pariaman, Sumatra, Indonesia. Firma HKA terlibat dalam menghasilkan pelbagai struktur binaan bangunan seperti terminal bas, muzium, hostel, Pusat Islam, masjid dan pusat kebudayaan Minang. Beliau juga turut diberi kepercayaan mereka bentuk Universiti al-Faisal di Riyadh, Arab Saudi.

Hijjas sendiri terlibat dalam pendidikan seni bina menerusi kuliah yang beliau kelolakan dan juga sebagai pemeriksa luar bagi fakulti senibina beberapa universiti awam Malaysia. Beliau juga memberi sumbangan kepada perkembangan seni di kediaman beliau, Rimbun Dahan. Didirikan di tapak seluas 14 ekar di Kuang, Selangor, Rimbun Dahan merupakan pusat seni tradisional dan kontemporari.

Rimbun Dahan menawarkan tajaan dan kediaman kepada artis, penari, koreografer, penulis, pengurus seni, kurator, pelukis, pengukir dan juga penyair. Atas sumbangan ini, beliau serta isteri telah diiktiraf oleh Forbes Asia sebagai salah satu daripada 48 Heroes Of Philanthropy pada tahun 2011.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!