Hijrah bertudung dan bukti iman

Wanita Hanita Hassan
Pilihan oleh Hanita Hassan
Hijrah bertudung dan bukti iman
Hijrah bertudung dan bukti iman © Szefei | Dreamstime.com

Hijrah bertudung dan bukti iman – iman ertinya kepercayaan atau tasdiq. Iman ialah kesepaduan antara tiga perkara iaitu percaya dalam hati, mengaku dengan lidah serta beramal dengan segala rukun dan perintah.

Sekiranya anda mengaku telah beriman, maka anda juga mesti beramal dengannya kerana amal membuktikan keimanan. Jika tidak, maka iman anda adalah mainan perasaan dan cita-cita sahaja.

Panduan khusus untuk wanita tentang aurat

Islam adalah agama yang mementingkan keselamatan harta benda dan jiwa raga.  Jika seseorang wanita itu mengatakan dia telah beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, maka dia juga akan terdorong melaksana semua tuntutan yang wajib dilakukan tanpa bantahan.

Begitulah dalam aspek pemakaian tudung, Islam juga menggariskan panduan khusus kepada kaum wanita untuk menjaga aurat.  Tudung atau hijab adalah pakaian yang menutup aurat wanita muslimah pada bahagian kepala dan sekitarnya. Pemakaian tudung bukan bersifat budaya semata-mata tetapi tuntutan agama Islam.

Kehormatan wanita sangat dititikberatkan Islam agar tidak terjebak ke lembah penzinaan. Perintah Allah SWT agar kaum wanita menutup belahan leher baju dengan tudung kepala serta larangan memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali suami, bapa, bapa mertua dan anak-anak serta beberapa golongan lagi telah disebut dalam al-Quran.

Ini secara jelas dinyatakan dalam Surah an-Nur pada ayat 31 dan Surah al-Ahzab ayat 33.  Tidak kurang juga banyak hadis Rasulullah SAW yang merakamkan tentang kewajipan bertudung itu.

Sesungguhnya pemakaian tudung adalah hijrah yang sangat dituntut kerana hijrah bukan sahaja dari sudut material, malahan menyeluruh kepada fizikal dan rohani. Setiap perbuatan baik perlu segera dilakukan kerana hati manusia ini sering berbolak-balik.

Penghijrahan memakai tudung adalah proses perubahan yang akan menyempurnakan keimanan anda.  Ia akan melengkapkan nilai hijrah sebenar menurut Islam yang akhirnya menjadikan anda dan kita semua sebagai mukmin bertakwa dan berjuang di jalan Allah SWT.

Hijrah bertudung dan bukti iman

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hijrah mengingatkan kita tentang perjuangan Nabi Muhammad SAW.  Mukjizat luar biasa yang berlaku kepada Rasulullah sebagai janji Allah SWT kepada Baginda yang berjuang di jalan-Nya.

Sesungguhnya percayalah bahawa setiap perjuangan yang menegakkan agama Allah SWT akan sentiasa mendapat pertolongan-Nya. Ini termasuk perkara yang di luar logik pemikiran manusia.

Iman Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din mengatakan bahawa untuk memantap dan menguatkan keyakinan iman dalam diri, disarankan agar kita penuhi waktu  dengan melaksana lebih banyak ibadah.

Ini juga bergaul dengan orang soleh, menghadiri majlis ilmu dan mendengar kata-kata serta melihat tingkah laku mereka yang sentiasa tunduk dan menyerah diri kepada Allah SWT.  Ia seperti ‘siraman air dan taburan baja’ untuk menumbuh dan menyuburkan ‘bijih benih’ yang telah sedia disemai.

Kepada kaum wanita yang telah berhijrah dan mengenakan tudung, teruslah istiqamah. Sesunggunya kehidupan di dunia hanya sementara dan akhirat jualah kampung halaman yang kekal dan pasti.