Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Hijrah Jiwa Mizz Nina

Wajah Salam Ili Farhana 03-Sep-2019

Mizz Nina yang kami kenali bermula sebagai ¼ kumpulan hip hop Teh Tarik Crew yang popular awal tahun 2000. Turut dianggotai Altimet, Fiquetional dan DJ Fuzz, Mizz Nina mencipta nama dan membina kredibiliti sebagai seorang wanita handal melontar kata-kata, sesuatu yang luar kelaziman ketika itu. Metamorfosis beliau berlanjutan sehingga turut mengukir nama sebagai seorang penyanyi R&B solo, berkolaborasi dengan pelbagai bakat hebat dari luar negara.

Mizz Nina sekarang masih handal melontar kata-kata tetapi menggalas gelaran dan tujuan berbeza. Bukan lagi penyanyi, tetapi seorang pengacara yang bijak memilih topik perbincangannya, pengasas bersama studio DOPStv, pelajar dan isteri kepada Mohammad Noh bin Salleh atau lebih dikenali sebagai Noh Salleh, dari kumpulan Hujan.

“Bagus juga dulu tak ada media sosial,” kata pemilik nama sebenar Hajjah Shazrina Azman, atau sapaan mesranya, Nina sambil ketawa kecil. Apa tidaknya, apabila kami buka cerita tentang ‘dulu-dulu.’ Tetapi kalau tidak ada pengajaran daripada dulu-dulu, tak adalah pembaharuan sekarang.

“Ramai yang rasa kalau mahu berubah, perubahan itu perlu terjadi sekelip mata. Berubah 180 darjah begitu saja. Tapi bukanlah saya. Perubahan saya berlaku beransur-ansur. Orang yang kenal saya nampak perubahan saya,” jelas Nina.

Real change has to come from your gut. Saya terdetik untuk berubah pada sekitar tahun 2002-2004. Pada waktu itu saya rasa kalau saya tidak berubah, saya akan mati. Terlalu banyak perkara yang tidak kena dalam hidup saya, dan saya berusaha untuk keluar daripada gaya hidup dan perhubungan yang toksik dan ‘addictive,’ seperti merokok. Ia tidak hanya memberi kesan buruk kepada saya, tetapi juga keluarga dan rakan-rakan saya. Hijrah pada saya bermula di situ. Ya,  bukan hijrah keagamaan tetapi hijrah kemanusiaan. Saya mahu menjadi manusia yang lebih baik dan lebih sihat,”  cerita Nina apabila kami tanya tentang perubahannya.

 

“It’s a Struggle”

Sepanjang kami berbual, berkali-kali beliau menyebut, “Tidak mudah.” “Selepas abang saya meninggal dunia pada tahun 2007, saya betul-betul mula bertanya tentang kewujudan saya di sini, apa gunanya saya di dunia ini, apa terjadi kepada kita bila kita mati. Dulu semuanya ‘me, me, me. It’s me against the world,’ dan hal-hal begitulah. Pada tahun itu, saya berkata kepada diri sendiri, “Cukup.”

Saya perlahan-lahan belajar solat, belajar berdoa, serta membuang dan melepaskan lebih banyak hal-hal toksik dalam kehidupan saya. It’s a process, and it’s a struggle.

“Saya mencari diri kerana saya mahu menjadi lebih baik. Untuk diri saya sendiri, bukan untuk orang lain. Dan saya rasa sepanjang proses kepedihan dan kesusahan itu, hati saya secara tidak langsung memanggil Allah, bercakap dengan Allah. Banyak kali Allah selamatkan saya pada waktu itu.

“Tak ramai yang tahu tentang semua ini, dan saya jarang bercerita tentangnya. Tetapi saya rasa saya perlu berkongsi kisah ini sekarang. Ada anak muda di luar sana yang sedang melalui apa yang saya lalui dulu. Mereka mungkin membaca tulisan ini dan rasa jika Mizz Nina boleh lakukannya, saya juga boleh. Sentiasa ada cahaya di hujung jalan, percayalah.

“Selepas itu saya mula melakukan umrah, dan memulakan karier solo saya. I was clear of all sorts of toxicity in life, especially when I got married to Noh. Dia pengaruh positif yang sangat besar dalam hidup saya. Noh tu nampak saja begitu, tetapi dia sebenarnya warak. Siapa yang ajar saya solat? Dia. Siapa yang galakkan saya berhijab? Dia. Hal-hal begini nampak saja kecil, tetapi sebenarnya ia besar ertinya. Perlahan tapi pasti.”

Kata Nina, menunaikan ibadah haji adalah seperti kemuncak proses perubahannya. Beliau menyarankan untuk menunaikan ibadah haji ketika masih muda dan sihat.

“Rasanya sungguh luar biasa, berada di Mekah dan Madinah pada waktu itu. Semua orang sibuk beribadat, menangis, sujud meminta pengampunan daripada Allah SWT, berdoa, bertaubat, dan memakai ihram. Sukar untuk digambarkan rasanya sebenarnya. Dan saya mampu merasai pengalaman itu. Dari situ saya sedar saya mahu menjadi seorang muslimah yang lebih baik.  Sepulangnya saya ke Malaysia, saya menghubungi pengurus saya dan memberitahu dia saya mahu berhenti. Dua minggu selepas itu, saya membatalkan semua projek yang ada.”

Apabila bercerita tentang hijab pula, kata Nina, sebelum ke Mekah lagi beliau sudah cuba-cuba bertudung. “Kalau ke kelas mengaji harus bertudung. Dari situlah mulanya. Ada sekali saya cuba keluar rumah bertudung seharian. Tak ada yang kenal. Boleh tahan juga,” katanya sambil ketawa.

“Dan selepas itu, sewaktu saya di Mekah, saya tidak sengaja keluar dari bilik hotel untuk menitipkan barang kepada teman keluarga yang ikut sama menunaikan haji dan saya rasa sungguh aneh bila tidak berhijab. Lalu di Arafah, saya berniat, jika Allah mahukan saya berhijab, saya akan memakainya untuk-Nya.”

“Semuanya jatuh kepada niat. Berniatlah untuk melakukannya kerana Allah SWT, dan bukan kerana tekanan masyarakat atau orang sekeliling.”

 

Kekal Positif

Cekalnya Nina bukan hanya setakat di proses pencarian diri dan pencarian Tuhan. Tetapi juga dalam kecekalannya untuk kekal istiqamah dan melawan arus hal-hal negatif dunia sekarang.

“Bila saya fikirkan tentang kematian dan kesakitan yang telah saya lalui, saya selalu bersyukur kepada Allah. Kekuatan yang ada pada saya, semuanya daripada-Nya. Kerangka fikiran saya sekarang adalah ‘I am nothing without Allah.’ Misi saya setiap hari adalah untuk membuang ego saya. Jika saya bergantung kepada Allah, saya boleh buat apa saja. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri sendiri, tak kemana.”

“Saya dulu hidup untuk gembirakan orang lain. Berpakaian seperti ini, menyanyi seperti itu, supaya semua orang sukakan saya. Tetapi sepanjang hijrah saya, saya sedar saya tak perlu gembirakan orang lain, puaskan hati orang lain. Saya hanya perlu menggembirakan Allah. Jadi sekarang, jika ada orang yang melontarkan komen negatif terhadap saya, saya tidak terlalu terganggu kerana saya tak perlu puaskan hati orang lain. Cukuplah saya mendapat keredaan Allah. This frame of mind is not an easy place to get to.”

“Sebenarnya untuk tepis kata-kata negatif daripada orang lain, mudah. Yang susah adalah menepis kata-kata negatif daripada diri sendiri. Dan itu selalu ada dalam fikiran saya. Jadi apa yang saya lakukan adalah ucapkan أعوذ بالله من الشيطان الرجيم . Fikiran negatif datang daripada syaitan yang selalu mahu menghalang kita daripada berbuat baik.”

“Zikir dan doa juga membantu. Sikit-sikitlah. Dulu tiga minit sehari, pagi petang, lama-lama zikir dan doa itu menjadi lebih panjang. Untuk saya sekarang, zikir kecil itulah dunia saya. Dulu saya tak rasa ia berkesan tetapi sekarang ia menjadi seperti ‘dinding pertahanan’ saya.”

Beliau juga menambah, “Being in the limelight helps. Saya perlu tanggalkan ‘label-label’ negatif yang diberikan kepada saya, atau yang saya berikan kepada diri sendiri dan lakukan hal-hal yang sepatutnya. Saya tak boleh berfikir ‘apa kata orang lain ya?’ It’s about what Allah wants. Dan apa yang telah saya lalui untuk sampai ke titik ini. If it’s meant to be, I will do it.”

“Tetapi jangan salah sangka, saya menerima kritikan membina dengan baik. Dan saya akan menerima pendapat daripada orang-orang terdekat dengan saya seperti ibu bapa saya, suami saya, dan rakan-rakan paling rapat. Namun Allah tetap nombor satu.”

Kami tergerak untuk bertanyakan tentang persahabatan kepada Nina. Dari awal beliau menyebut tentang perhubungan toksik. Jadi bagaimana dengan sekarang, adakah beliau lebih bijak memilih?

“Nama pun kawan. Ada yang datang, ada yang pergi. Saya gembira dengan apa yang ada. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai kata orang.”

“Saya memilih dalam hal mencari rakan sekerja. Saya suka di kelilingi orang yang positif, berjaya, melakukan hal-hal yang saya suka, dan bekerja ke arah Allah. Bila bekerja bersama, we have good vibes together.”

“Lebih baik ada satu kawan yang mengingatkan kita kepada Allah, daripada ada satu bilik penuh dengan manusia yang berpura-pura menjadi sahabat.”

 

Aktiviti Terkini

Bagi mereka yang mengikuti media sosial Nina pasti tahu yang beliau sentiasa aktif, baik bersama DOPStv, mahupun aktiviti-aktiviti kemanusiaannya. Dan ada juga aktiviti riadah dan kekeluargaan. Paling banyak mengisi masanya adalah kelas-kelas Al-Qurannya bersama Al-Huda Institute.

Tetapi sewaktu penggambaran kami diadakan, beliau sedang bercuti, dan sempat mendaftar untuk sebuah kursus menulis bersama Na’ima Roberts, seorang penulis dan writing coach asal United Kingdom.

“Saya mahu ceritakan kisah saya. I want to try to touch people’s lives through my book. I do a lot of speaking tetapi kesan penceritaan berbeza dalam penulisan.”

“Apa yang saya lakukan sekarang, saya selalu kaitkan dengan accountability dan ada deadline yang jelas. Adakah saya akan kesal jika saya tidak lakukannya selagi saya masih bernyawa? Semuanya menjadi lebih mudah apabila saya kaitkan dengan Allah dan akhirat.”

“Kita ditempatkan di dunia ini bersebab dan Allah telah memberikan kepada saya sumber-sumber untuk melakukan semua ini, jadi saya mahu menggunakannya sebaik mungkin. Time to give back.”

“Saya juga akan mengeluarkan sebuah aplikasi Islamik, inshaAllah. Lebih kepada aplikasi pendidikan sebenarnya. Tetapi ada unsur gaya hidup juga daripada DOPSTV. Saya juga mahu lebih tekal dengan aktiviti kemanusiaan saya. Kita mula kecil-kecilan dulu, selepas itu kita lihat apa yang terjadi.”

Apa lagi yang tinggal? Banyak sudah rasanya yang dilakukan Mizz Nina rasanya. Tetapi katanya masih banyak yang perlu dikerjakan.

“Saya rasa saya belum cukup ilmu lagi. Knowledge of the Deen. Saya mahu habiskan Diploma Taalim Al-Quran saya di Al-Huda. Setiap kali saya habis satu kursus saya rasa satu kejayaan.”

“Saya mahu dapatkan ilmu yang berguna. Kalau saya faham apa yang imam baca sewaktu solat terawih, itu kejayaan besar untuk saya. Saya juga mahu faham apa yang saya baca dan mahu berkongsi pengetahuan saya bersama keluarga dan rakan-rakan.”

“Ilmu yang ada perlu digunakan, jika tidak, habislah ia, dilupakan begitu saja. Menghabiskan buku saya juga akan jadi milestone besar untuk saya.”

Lama kami berfikir selepas penggambaran dan acara berbual kecil ini. Mizz Nina telah menemukan jalan beliau. Bagaimana dengan kita? Hijrah kita, dalam bentuk apa pun.

Kami doakan Nina dan para pembaca semua terus cekal dan kekal istiqamah dalam apa jua usaha yang dimulakan pada tahun ini. Terima kasih Nina, selamat menyambut Awal Muharam, semua.

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Mizz Nina
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
    Penyelaras dan Pengurus Projek : Shah Shamshiri
    Teks (Bahasa Melayu) : Ili Farhana
    Suntingan : Shah Shamshiri
    Pereka grafik: Asyraf Tamam
    Penata gaya : Zura Ahmad
    Penata gaya hijab : Zura Ahmad
    Jurusolek : Saidatulnisa Aminuddin
  • Busana:

Gaya Pertama:

  • Jubah labuh platinum: Blancheur
  • Blazer floral: Syomirizwa Gupta
  • Jaket jacquard: Blancheur
  • Jaket labuh biru: Syomirizwa Gupta
  • Tudung inner hitam: Blancheur
  • Aksesori kepala durag: Fenty Puma by Rihanna (milik peribadi Mizz Nina)
  • Sepatu: Nike x COMME des GARCONS (milik peribadi Mizz Nina)

Gaya Kedua:

  • Dress fuchsia polos: Syomirizwa Gupta
  • Skarf net: THREAD.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Saya dulu hidup untuk gembirakan orang lain. Berpakaian seperti ini, menyanyi seperti itu, supaya semua orang sukakan saya. Tetapi sepanjang hijrah saya, saya sedar saya tak perlu gembirakan orang lain, puaskan hati orang lain. Saya hanya perlu menggembirakan Allah.