Hijrah tersendiri semasa epidemik ini

Kehidupan Hanita Hassan 21-Apr-2020
Hijrah norma baru di rumah © Paulus Rusyanto - Dreamstime.com

Hijrah adalah suatu perkara yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.  Kita biasanya berhijrah dari keadaan yang buruk kepada yang lebih baik. Hijrah tidak perlu dilakukan kepada perkara yang besar.  Kita boleh mulakan dengan memperbaiki kelemahan-kelemahan kecil yang sering dilakukan tanpa disedari setiap hari.

Ramai pakar motivasi percaya bahawa situasi wabak akibat COVID-19 akan merubah rutin harian kita.  Kalau dahulu kita sibuk bekerja sehingga kurang waktu dihabiskan di rumah.  Kini, apabila setiap hari  terpaksa duduk rumah, kita dapat melakukan banyak perkara baharu yang  tidak sempat dilakukan dahulu.

Hari ini kita bersyukur kerana diberi kelapangan waktu untuk berjemaah bersama keluarga. Tazkirah selepas maghrib adalah rutin baharu sementara menanti isyak. Kita membaca dan mentadabbur buku-buku hadis dan sirah yang selama ini hanya bersarang di rak-rak buku. Kita dapat membaca al-Quran dan surah al-Mulk setiap malam serta makan bersama.

Para suri rumah juga semakin kreatif mencuba menu baharu.  Bertanya sahabat dan jiran tetangga melalui media sosial atau meminta pendapat suami dan anak-anak.  Bayangkan setiap hari, suri rumah perlu menyediakan menu lengkap dari awal pagi hingga makan lewat malam.  Roti yang hanya dibeli di kedai selama ini, kini sudah pandai diuli sendiri.  Itu pun kerana stok roti sukar diperoleh.

Para suami pula sudah semakin pandai membeli barangan keperluan dapur.   Sudah kenal yang mana satu halia dengan lengkuas, peria katak dengan daun pucuk paku dan banyak lagi.  Semua perubahan ini sesuai dengan ajaran Islam sebagai agama yang lengkap dan cara hidup sebenar.  Islam juga mengajar umat untuk berani berubah.  Berhijrah untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik.

Hijrah juga mengingatkan kita kepada peristiwa yang pernah dilalui Nabi Muhammad SAW yang berdepan ancaman daripada kaumnya. Peristiwa hijrah juga melihatkan kita kepada mukjizat luar biasa yang berlaku sebagai janji Allah SWT terhadap Baginda yang berjuang di jalan-Nya.  Apa yang pasti, peristiwa hijrah bukan hanya untuk kita yakini, tetapi dijadikan iktibar dalam menjalani kehidupan seharian.

Sepertimana Firman Allah SWT dalam kitab suci al-Quran yang maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur.” (Surah An-Nisa, ayat 100).

Justeru, jika hendak berjaya, tirulah sifat serta sikap orang yang berjaya.  Model yang paling baik dijadikan panduan sudah tentu Rasullallah SAW.  Setiap tindakan dan perbuatan baginda adalah teladan untuk kita mencipta kecemerlangan diri. Yakinlah sekiranya kita bersungguh-sungguh untuk berubah, kita pasti boleh melakukannya.  Semoga kita istiqamah dan mendapat hidayah Allah SWT.