Hikmah dan fadilat solat awal waktu

Solat Siti Nur Baiin Che Harun
Pilihan oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Hikmah dan fadilat solat awal waktu
Hikmah dan fadilat solat awal waktu © Odua | Dreamstime.com

Apakah fadilat solat awal waktu? Artikel ini akan memaparkan beberapa fadilat tersembunyi dari menunaikan solat pada awal waktu. Seringkali kita mengeluh dan berasa sedih kenapa Allah Taala selalu menangguhkan permintaan kita.

Pernahkah kita terfikir tanggungjawab kita sebagai hamba Allah SWT untuk solat di awal waktu?

Hikmah solat awal waktu

Salah satu kewajipan kita terhadap Allah SWT adalah dengan menunaikan solat pada awal waktu. Hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi mengenai amalan paling utama ialah solat diawal waktu. Nabi Muhammad SAW pernah ditanya:

“Amalan apakah yang paling utama?” Baginda menjawab: “Solat pada awal waktu.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi, 155)

Seperti yang kita tahu, banyak hikmah dan keistimewaan bagi hamba-Nya yang menunaikan solat di awal waktu. Ada yang merungkai dari segi saintifik, meditasi dan kesihatan.

Solat Subuh

Pada waktu Subuh, ia berkait rapat dan sangat mempengaruhi sistem metabolisme dalam badan.  Ini diterangkan bahawa alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisme tubuh.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar, rezeki dan komunikasi. Sebab itu hadis untuk berpagi-pagian sentiasa dikongsi oleh pakar motivasi. Rasulullah SAW bersabda:

“Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluan hidupmu. Sesungguhnya pada pagi hari, terdapat berkah dan keberuntungan.”

(Hadis riwayat at-Tabrani dan al-Bazzar)

Solat Zuhur

Manakala waktu Zuhur pula, spektrum pada waktu ini berkait rapat dengan frekuensi perut dan hati di mana ia berhubung dengan sistem penghadaman.

Solat Asar

Seterusnya waktu Asar, ia dinyatakan frekuensi ketika ini berkait dengan sistem yang ada pada prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.

Dengan solat Asar pada awal waktu, ia akan memberi kesan yang baik kepada organ kesuburan.

Solat Maghrib

Selain itu, kelebihan solat awal untuk waktu Maghrib ada dijelaskan kaitan dengan unsur keyakinan pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Di mana waktu ini, spektrum warna menghampiri frekuensi jin dan iblis iaitu cahaya merah (infra-red). Dinasihatkan juga kepada musafir untuk berhenti solat terlebih dahulu.

Sebaiknya tidak meneruskan perjalanan kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan terutama pada pandangan mata.

Solat Isyak

Rungkaian untuk waktu Isyak pula ada keistimewaan dari segi sistem kawalan otak, di mana frekuensi pada waktu ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian.

Ini bertepatan dengan hadis Sahih al-Bukhari, 5970 yang bermaksud:

“Apakah amalan yang paling dicintai disisi Allah SWT? Nabi menjawab: “Solat pada waktunya.”

Allah berfirman dalam Al-Quran:

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang-orang yang bertakwa.”

(Quran surah al-Hujurat, 49:13)

Sebenarnya kita lupa, kita milik Allah Taala, di mana semua ini adalah pinjaman sementara dan milik-Nya. Sesiapa yang ingin doanya dimakbulkan segera oleh Allah, solatlah dengan segera.

Lebih cepat kita tunaikan hak Allah SWT, lebih cepat Allah akan makbulkan hajat kita. Jadikan semua rezeki dan kurniaan-Nya kepada kita itu sebagai pemangkin untuk kita jadi lebih berdisiplin.

Bentuk diri dengan solat pada awal waktu. Tinggalkan sementara urusan dunia, dan tunaikan tanggungjawab kita kepada Maha Pencipta.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.