Hikmah tersembunyi berbudi kepada tanah

Tanaman pokok bunga yang kemas dan menarik © Aisyaqilumar | Dreamstime.com

Waktu lapang yang dihabiskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain diisi dengan menonton rancangan hiburan di kaca televisyen, tidur dan bersosial melalui maya, anda juga boleh melakukan aktiviti pertanian.  Manfaatnya cukup besar kepada diri sendiri dan orang sekeliling.

Bagi yang tinggal di kawasan perumahan strata seperti pangsapuri, flat dan kondominium, anda masih boleh menggunakan ruang terhad di laman belakang atau balkoni  untuk menanam sayuran, sama ada secara hidroponik atau menyemai tumbuhan herba dan ulam-ulaman.  Apatah lagi jika anda tinggal di rumah teres, banglo atau di kampung.

Berbudi kepada tanah walaupun secara kecilan akan dapat juga hasilnya selain menjadi terapi jiwa.  Anda tidak perlu lagi membeli sayuran di kedai, hanya petik di belakang rumah.  Semuanya terjamin kebersihan dan kesegarannya tanpa racun serangga.

Berbekalkan teknologi tanaman hidroponik misalnya, tanaman sayuran hijau seperti bayam, kangkung dan cili boleh  diusahakan.  Hidroponik adalah kaedah tanaman  secara takungan air dan baja.  Ia tidak perlu disiram walaupun pemiliknya bekerja di luar kawasan lebih daripada seminggu.  Pokok juga sihat kerana mendapat zat makanan yang cukup.

Hari ini ramai peniaga agro-hidroponik menyedia perkhidmatan secara atas talian dengan menawarkan pakej kit tanaman hidroponik dan khidmat perundingan bagi anda yang baharu berjinak-jinak dengan tanaman kecil-kecilan ini.

Kosnya mampu milik dengan hasil dapat dilihat sepantas 30 hari bergantung kepada jenis tanaman. Kesannya, perbelanjaan keperluan harian dapat dijimatkan dan disimpan, di samping menghijaukan kawasan sekitar.

Daripada Anas bin Malek r.a., baginda Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  “Seseorang Muslim yang menanam sesuatu tanaman yang berbuah lalu dimakan oleh manusia atau binatang, mereka akan mendapat pahala sedekah.”  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW menegaskan bahawa tanaman yang berbuah akan mendapat pahala kebajikan seperti pahala sedekah. Ini termasuk orang yang bercucuk tanam atau menanam pohon kayu kemudian dimakan oleh manusia atau binatang. Juga pohon yang tidak berbuah, yang memberi faedah kepada manusia dan binatang umpamanya, digunakan untuk membuat sesuatu seperti rumah atau mengindahkan landskap.

Pohon-pohon di taman bunga ataupun bunga yang indah menarik dapat menceriakan mereka yang mencari  ketenangan. Ia turut menjadi tempat perlindungan dan berteduh, tempat burung berkicauan dan berterbangan. Selagi pohon itu berfaedah kepada manusia dan binatang, dan ditanam dengan tujuan kebajikan bukan untuk kerosakan, maka semuanya itu akan mendapat pahala sedekah.

Sesungguhnya apa sahaja yang berlaku hari ini perlu dilihat sebagai hikmah yang tersembunyi. Anda bukan sahaja perlu merenungi apa yang berlaku dengan wabak COVID-19 sebagai ujian Allah SWT, tetapi sewajarnya  sudah  mula sedar akan hikmah di sebaliknya. Berbudi kepada tanah sedikit sebanyak dapat membantu meneruskan perancangan kewangan peribadi untuk masa hadapan yang lebih baik.