Hilang kerja, langkah seterusnya

Ekonomi 26 Feb 2021 Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Hilang kerja, langkah seterusnya
Hilang kerja, langkah seterusnya © Roman Samborskyi | Dreamstime.com

Hilang punca pendapatan adalah perkara yang paling membimbangkan oleh banyak orang pada ketika ini.  Apatah lagi sekiranya anda tidak mempunyai simpanan sedangkan komitmen anda terlalu banyak.

Sekurang-kurangnya anda perlu mempunyai simpanan sehingga enam bulan untuk meneruskan hidup dengan selesa sementara menunggu kerja atau perancangan baharu.  Anda boleh menyusun kembali kehidupan berdasarkan apa yang berlaku.

Hilang kerja, langkah seterusnya

Bagi yang telah lama bekerja, sememangnya pengalaman dalam bidang anda cukup luas.  Ia tidak dapat dinafikan.  Namun dalam situasi pandemik COVID-19, banyak jawatan kosong dibekukan.

Sekiranya ada sekali pun, gaji yang ditawarkan mungkin separuh daripada gaji terakhir yang anda terima.  Mungkin juga lebih rendah daripada itu.  Untuk menerima tawaran bergaji rendah itu, anda perlu berfikir berkali-kali.

Bilangan individu yang hilang pekerjaan di negara ini meningkat dua kali ganda setiap bulan sejak Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.  Ia bagi membendung rantaian penularan wabak COVID-19.

Rakyat disuruh duduk rumah. Jika yang bekerja, dipaksa bekerja dari rumah demi keselamatan.  Justeru, banyak majikan yang terpaksa mengecilkan operasi dan mengurangkan pekerja.

Hidup perlu diteruskan!

Hidup perlu diteruskan.  Keluarga perlu disara, bayaran sewa beli rumah dan kereta sudah menunggu. Itu tidak termasuk bayaran penggunaan kad kredit dan tanggungjawab kepada ibu bapa  dan adik-beradik.  Bayaran takaful insuran, kad kesihatan, ahli kelab persatuan sosial, pinjaman peribadi dan sebagainya.  Semua ini perlu diselesaikan setiap bulan sepertimana perjanjian yang telah dibuat.

Terperangkap dalam dilema hilang punca pendapatan, jika isteri anda bekerja, bolehlah anda sekeluarga bernafas.  Anda duduk rumah dahulu dan uruskan anak-anak.  Mungkin juga musibah yang didatangkan oleh Allah SWT ini sebenarnya untuk memberi sesuatu kepada anda.

Jika sebelum itu anda tidak pernah mengambil tahu pengurusan rumah dan anak-anak,  inilah masanya untuk mula belajar.  Hantar dan ambil anak pulang dari sekolah, kelas tuisyen, kelas mempertahankan diri, kelas agama petang dan sebagainya.

Sesungguhnya benarlah sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Mereka membuat rencana dan Allah jua membuat rencana,dan Allah jualah sebaik-baik perencana.”

(Surah al-Anfal, ayat 30)

Allah Taala lebih mengetahui

Kita harus sedar bahawa Allah SWT menguasai akan segala sesuatu. Dengan sentiasa mengingati Allah akan membuat kita berasa lebih tenang menghadapi setiap perkara dalam kehidupan. Misalnya kita sedang menunggu keputusan temu duga pekerjaan baharu.

Walau apapun keputusannya, Allah Taala lebih mengetahui. Kita perlu bersikap positif dan bersyukur dengan segala perkara yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Walaupun kita berasa bimbang tentang masa hadapan, kita harus melihat apa yang kita miliki hari ini.

Mungkin ramai lagi di luar sana yang sedang tenat menghadapi kesukaran hidup.  Sekurang-kurangnya kita masih mempunyai rumah untuk berteduh, kereta untuk berulang-alik dan keluarga yang bahagia.

Justeru, jadikan apa yang berlaku dalam hidup sebagai kekuatan untuk menjadi yang lebih baik.  Mungkin ini caranya untuk Allah SWT mengurniakan kekayaan yang lebih besar dengan hilangnya punca pendapatan.  Apa pun berdoalah sentiasa setiap kali solat.  Semoga Allah memudahkan urusan kita semua dan terus kekal di jalan-Nya.