Hina orang yang menjadi perhatian umum – di media sosial

Masyarakat Hanita Hassan
Hanita Hassan
dreamstime_s_138102064
to 138102064 © Christian Horz | Dreamstime.com

Meningkatnya populariti platfom media sosial telah menyebabkan para pempengaruh media sosial (media influencer) menjadi mangsa kecaman secara terbuka, disebabkan cara hidup yang mereka jalani.

Sudah tentu, tidak ada keraguan bahawa meletakkan diri mereka di platform media sosial pasti menjadikan mereka contoh.

Hina orang yang menjadi perhatian umum – di media sosial

Suka atau tidak, masyarakat mudah dipengaruhi oleh pempengaruh media sosial. Namun demikian, ia sama sekali tidak bermaksud anda dibenarkan mengecam secara terbuka di platform mereka dengan kata-kata yang menyakitkan.

Agama Islam tidak mengajar kita begitu.  Al-Quran mengajar kita agar sentiasa bersikap baik dan ikhlas terutama ketika menasihati orang lain. Allah Taala dalam al-Quran telah berfirman:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah; dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.”

(Surah an-Nahl, ayat 125)

Kata-kata kesat masyarakat boleh mendorong pempengaruh media sosial yang beragama Islam runtuh tahap keimanan mereka. Perkara seperti ini memang benar-benar berlaku dan ia sangat menyedihkan.

Kita mungkin mengatakan bahawa pempengaruh ini tidak perlu mendengar kata orang.  Apa sahaja yang mereka putuskan untuk memperteguh keimanan seharusnya semata-mata kerana Allah SWT.

Namun, ini tidak bermaksud mereka tidak mempunyai perasaan atau tidak terkesan dengan apa yang diperkatakan kepada mereka, terutama apabila ia berlaku di khalayak ramai dan dilihat oleh semua. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.”

(Hadis riwayat Imam at-Tirmizhi, 2032)

Kritikan pemakaian hijab yang betul

Pempengaruh media sosial wanita Muslim yang menggayakan hijab dengan cara tersendiri telah dikritik tentang bagaimana cara yang tepat dalam pemakaian hijab. Mereka yang menggayakan hijab dengan cara tertentu menganggap mereka boleh sesuka hati mengkritik mereka yang memakainya dengan cara yang berbeza.

Pempengaruh telah meluahkan bahawa disebabkan mereka adalah tatapan umum dan lebih cenderung untuk dihakimi, membuat keputusan untuk tidak berhijab adalah keputusan yang mudah bagi mengelakkan kecaman dan kritikan.

Mereka turut dikritik oleh pengkritik tanpa nama agar lebih baik tidak memakai hijab sekiranya mereka tidak memakainya dengan betul. Komen sebegini perlu dipandang serius.

Kita umpamakan seperti kisah seseorang yang secara terbuka telah meluahkan perasaan. Atas apa alasan sekali pun, bahawa dia telah berusaha untuk menunaikan solat Subuh walaupun sering bangun lewat. Namun dia tetap menunaikan empat lagi solat yang lain.

Bolehkah kita membayangkan betapa ruginya jika dia diberitahu oleh seseorang sekiranya dia meninggalkan solat Subuh, adalah lebih baik untuk dia tidak menunaikan solat sama sekali.

Manusia sentiasa melakukan kesilapan

Kita hendaklah memahami etika memberi nasihat dalam Islam. Kita juga perlu berhati-hati dan beringat akan pesan Nabi Muhammad SAW agar sentiasa bersikap baik dan berlemah lembut.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Kelembutan tak dapat ditemukan pada apa pun kecuali itu menambah keindahannya, dan tidak tercabut dari apa pun kecuali bahwa itu membuatnya cacat.”

(Hadis riwayat Muslim)

Setiap daripada kita berbeza dosa yang dilakukan, kita semua melakukan kesilapan. Walaupun kita percaya bahawa ada orang yang mengamalkan Islam dengan cara yang berbeza daripada kita, mengapa kita tidak memahami bahawa akhirnya hanya Allah SWT sahaja satu-satunya yang mengetahui segala sesuatu.

Mengapa kita perlu mempertikaikan tindakan orang lain, sehingga  lupa akan dosa dan taubat kita sendiri. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban)mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?”

(Surah al-Baqarah, ayat 44)