‘Hope’: Misi kapal angkasa ke Marikh pertama UAE dan dunia Islam!

Teknologi 06 Apr 2021 Muhammad Wa'iz
Pilihan
‘Hope’: Misi kapal angkasa ke Marikh pertama UAE dan dunia Islam!
‘Hope’: Misi kapal angkasa ke Marikh pertama UAE dan dunia Islam! © space.com

Pada 9 Februari 2021, misi kapal angkasa milik Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu ‘Hope’ telah disahkan memasuki orbit planet Marikh. Kejayaan ini diiktiraf sebagai misi angkasa pertama di Marikh yang berjaya dilaksanakan oleh negara-negara Arab.

Misi kapal angkasa pertama oleh Emiriah Arab Bersatu

Kapal angkasa ‘Hope’ milik Emiriah Arab Bersatu ini telah mula dilancarkan di Pusat Angkasa Tanegashima di Jepun sejak tujuh bulan yang lalu. Kemudian, pada 9 Februari baru-baru ini, barulah ia berjaya memasuki orbit planet Marikh.

Kejayaan misi kapal angkasa memasuki orbit planet Marikh ini menjadikan UAE sebagai negara keenam yang melakukannya. Sebelum ini, negara Amerika Syarikat, Rusia, China, Kesatuan Eropah serta India telah turut melakarkan rekod yang sama.

Perjalanan misi kapal angkasa ‘Hope’

Misi kapal angkasa ini bukanlah satu misi yang baru sahaja bermula. Ia mula diumumkan pada bulan Julai 2014 di bawah projek Emirates Mars Mission oleh Mohammed Bin Rashid Space Centre.

Projek ini turut melibatkan kerjasama daripada tiga buah universiti lain dari Amerika Syarikat iaitu University of California at Berkeley, Arizona State University dan University of Colorado-Boulder.

Pada bulan Julai 2020, ia dilancarkan dari Pusat Angkasa Tanegashima di Jepun dengan membawa bersama kamera resolusi tinggi dan juga spektrometer.

Walaupun negara UAE pernah membuat tiga misi angkasa lepas sebelum ini, ini adalah misi pertama yang melibatkan antara planet. Tiga misi angkasa lepas UAE sebelum ini hanyalah melibatkan planet Bumi sahaja.

Apakah tujuan misi ‘Hope’ UAE ini?

Tujuan utama misi ‘Hope’ ini adalah untuk mengkaji berkenaan kedinamikan cuaca di planet Marikh. Kapal angkasa ‘Hope’ ini akan melihat bagaimana cuaca mengubah pelepasan hidrogen dan oksigen ke angkasa.

Dengan melihat bagaimana gas hidrogen dan oksigen planet ini terlepas ke angkasa, para penyelidik akan dapat mengetahui bagaimana planet ini kehilangan banyak lapisan atmosfera dan juga sumber airnya.

Kapal angkasa ‘Hope’ dijangka akan dapat merakam keseluruhan atmosfera planet Marikh dalam setiap sembilan hari dan akan tamat dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sebagai galakan kepada anak muda UAE

Selain bertujuan menjalankan eksplorasi atmosfera Marikh, projek ini juga adalah salah satu projek ‘serampang dua mata’ oleh kerajaan UAE.

Kerajaan UAE berharap agar projek ini dapat meningkatkan semangat anak muda di UAE untuk melibatkan diri dalam bidang sains. Selain itu, misi kapal angkasa ini juga diharapkan dapat mengembangkan lagi sektor sains dan juga teknologi di UAE.

Satu kejayaan bagi dunia Islam

Kejayaan misi angkasa lepas milik UAE ini juga membanggakan dunia Islam. Sebelum ini, eksplorasi berkaitan angkasa lepas hanya dilakukan dan didominasi oleh dunia barat.

Tiada satu pun negara Islam yang mempunyai pencapaian dalam bidang angkasa lepas sehebat yang dilakukan oleh UAE ini. Ini menunjukkan bahawa negara Islam juga mempunyai kemampuan untuk melakukan ekspedisi di angkasa lepas sama seperti negara-negara maju yang lain.