Hormati dan hargai peranan bapa

Kehidupan Hanita Hassan 26-Jun-2020
Hargai peranan bapa © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Bapa adalah insan yang istimewa di dalam hidup kita.  Bapa adalah pelengkap kepada kelahiran kita ke dunia ini.  Ada yang memanggil bapa dengan panggilan abah, baba, ayah, daddy, papa, abi dan bermacam lagi.  Apa pun panggilannya, semua bapa memainkan peranan yang sama iaitu sebagai ketua keluarga dan orang penting di sebalik kesejahteraan sesebuah rumah tangga.

Kajian mendapati apabila seorang bapa suka melakukan aktiviti bersama keluarga dan memberi sokongan dalam semua perkara, dia boleh memberi sumbangan yang besar  kepada perkembangan anak.  Sama ada dari segi pembangunan sosial, pencapaian akademik, sumber teras dalaman yang kuat, rasa kesejahteraan dan harga diri yang baik.

Seperti kata perumpamaan, ‘Kasih bapa sepanjang masa, kasih ibu membawa ke syurga.’

Hakikatnya, peranan dan tanggungjawab bapa sama pentingnya dengan ibu. Tiada yang terkecuali dalam memberi perhatian kepada perkembangan anak, baik dari segi jasmani, rohani mahupun sahsiah.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:  “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”  (Surah al-Israa, ayat 23)

Pernah suatu ketika Abdullah Ibnu Masu’d bertanya Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang paling dicintai Allah SWT?  Rasulullah SAW menjawab:  Berbuat baik kepada ibu bapa.  Kemudian apa?  Rasulullah SAW menjawab:  Berjihad di jalan Allah.”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap tahun iaitu pada hari ahad minggu kedua bulan Jun, sambutan Hari Bapa diraikan di seluruh dunia. Walaupun ini bukan tradisi Islam, sambutan ini adalah sebagai simbolik supaya kita mengingati dan menghargai kasih sayang seorang bapa dalam hidup kita. Sejak kecil kita ditatang seperti minyak yang penuh.  Semua kehendak dan keperluan kita akan cuba ditunaikan sebaik mungkin.

Bapa menurut kacamata Islam akan menjadikan hidup anak-anaknya cukup sempurna.  Meskipun tegas, namun semuanya adalah untuk menjadikan kita seorang insan yang lebih baik, boleh mengurus hidup apabila meningkat remaja, dewasa dan berumahtangga.

Justeru, marilah kita terus menghormati dan menghargai bapa.  Apa pun yang telah berlaku dalam hidup kita, jadikan kebaikan yang ada dalam dirinya sebagai memori yang terindah untuk terus dikenang.

Malik bin Rabiah menceritakan, ketika kami bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang menghadap seorang lelaki dari Bani Salamah, lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah saya masih berpeluang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa saya, adakah saya wajar berbakti kepada mereka selepas kematian mereka?  Rasulullah SAW menjawab:  Ya, dengan cara mendoakan kedua-duanya, memohon keampunan kepada mereka, menunaikan janji mereka, memuliakan kawan mereka dan membina silaturahim yang tidak boleh dihubung melainkan dengan keduanya.”  (HR Abu Daud)

Terima kasih kepada semua bapa di luar sana kerana penat lelahmu mencari rezeki untuk keluarga.  Semoga Allah SWT merahmati anda, dimurahkan rezeki dan sihat tubuh badan untuk dapat terus beribadat di usia yang semestinya semakin bertambah.

Kepada bapa-bapa yang telah pergi meninggalkan kita, didoakan semoga Allah SWT menempatkan mereka dalam kalangan orang yang beriman.  Semoga tenang bersemadi dan dicucuri rahmat-Nya.