Hotel Mesra Durian Untuk Peminat Durian

Jika anda berkunjung ke mana-mana hotel di negara ini, kebiasannya anda akan melihat papan tanda-papan tanda peraturan hotel yang melarang tetamu membawa masuk buah durian ke premis tersebut.

Ini kerana bau durian yang kuat telah menyebabkan raja buah itu menjadi ‘barang larangan’ di hotel-hotel meskipun ia diminati oleh sebilangan besar daripada kita.

Namun kini, ada berita gembira buat para peminat durian kerana anda masih boleh menikmati buah kegemaran anda tersebut jika anda berkunjung ke Bangi Resort Hotel dan Le Apple Boutique Hotel @ KLCC.

 

Bangi Resort Hotel

Tahukah anda, Bangi Resort Hotel baru-baru ini diitiraf sebagai hotel dan resort mesra durian pertama oleh The Malaysia Book of Records?

Apa yang menariknya adalah, pengunjung boleh menikmati durian di sebuah bangunan yang dibina dalam kawasan Bangi Resort Hotel yang dinamakan ‘The Farm Cube‘.

Terletak di sekitar kawasan resort yang menghijau, ‘The Farm Cube’ merupakan sebuah binaan seakan gerai tiga tingkat yang dihasilkan menggunakan kontena kapal di hadapan kawasan parkir hotel tersebut.

 

 

Ia turut menempatkan Pusat Penyelidikan Durian, gerai menjual makanan dan minuman serta pasar tani mini yang menjual pelbagai jenis durian dan buah-buahan.

Istimewanya, aneka buahan tersebut dipetik daripada Bangi Farm Resort serta dusun-dusun lain yang mengambil bahagian selain turut mengetengahkan produk-produk berasaskan agro yang lain.

Pastinya kunjungan anda ke Bangi Resort Hotel menjadi suatu pengalaman berharga kerana anda bepeluang merasai penginapan di sebuah hotel yang berkonsepkan agro pelancongan.

Selain itu, Bangi Resort Hotel turut menawarkan pakej-pakej mesyuarat yang turut memberi peluang kepada peserta untuk menikmati durian.

Dengan kemudahan Grand Ballroom yang boleh memuatkan sehingga 750 tetamu serta 25 bilik mesyuarat pelbagai saiz serta dua bilik lembaga pengarah, pelanggan boleh memilih mana-mana pakej yang pasti akan memberi pengalaman bermesyuarat yang lain daripada lain.

Maklumat lanjut mengenai promosi ini boleh didapati daripada laman web Bangi Resort Hotel atau hubungi talian +603- 8210 2222 atau email ke: [email protected]

 

Le Apple Boutique Hotel @ KLCC

Sedikit berbeza dengan Bangi Resort Hotel, Le Apple Boutique Hotel @ KLCC, sebuah hotel yang terletak berhadapan dengan mercu tanda Menara Berkembar Petronas ini mempromosikan penginapan bilik dengan bufet durian Musing King.

Dengan menawarkan durian Musang King segar yang dibawa dari Raub, Pahang, promosi tersebut diadakan dua kali setahun iaitu sepanjang bulan Julai hingga Ogos serta Disember hingga Januari.

Terdapat tiga pakej yang ditawarkan iaitu:

  1. Bermalam dengan pakej ‘All-You Can Eat Durian Fest’ (penginapan 3 hari 2 malam) pada harga bemula daripada RM768.
  2. ‘Walk-in Durian Buffet’ pada harga RM160. Pengunjung boleh menikmati seberapa banyak durian dalam masa dua jam.
  3. Durian Take Away’ pada harga mengikut pasaran.

Terdapat sebuah kawasan yang dikhaskan untuk pengunjung menikmati Musang King kegemaran mereka dengan berlatarbelakangkan pemandangan Menara Berkembar Petronas.

Selain itu, pengunjung atau orang ramai yang lalu-lalang turut berpeluang untuk bergambar di hadapan replika durian Musang King setinggi 10 kaki yang dibina di hadapan hotel tersebut.

Promosi yang dijalankan dengan sokongan Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan ini diharap dapat menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Promosi akan datang bakal diadakan pada bulan Disember 2019 hingga Januari 2020.

Maklumat lanjut mengenai promosi ini atau tempahan boleh dibuat di talian +603-2179 3777 atau email ke: [email protected]

Foto: Siew Hwa Chai (flickr), Facebook Le Apple Boutique Hotel KLCC, Instagram Le Apple KLCC & Facebook Bangi Farm Resort.