Hubungan baik dengan mertua

Kehidupan Abi Aasim 27-Ogo-2020
Hubungan baik dengan mertua © MOHD AZAMI SARJU | Dreamstime.com

Macam-macam kisah mengenai menantu dan mertua ini. Banyak yang manis, namun ada juga yang masam dan beronak duri. Alangkah bahagianya jika mempunyai hubungan yang mesra dengan mertua setiap masa.

Selain ibu bapa, mertua merupakan sumber penting bagi pasangan yang berkahwin mendapatkan panduan dan naasihat berkaitan hal rumah tangga. Banyak pengalaman mereka yang boleh dijadikan rujukan oleh anak dan menantu.

Tidak dinafikan ada mertua yang menjadi punca pergolakan rumah tangga dan perselisihan suami isteri. Ada mertua yang terlalu suka mencampuri dan mengawal urusan rumah tangga anak dan menantu mereka. Sikap segelintir mertua seperti ini boleh menjurus ke arah penceraian.

Walau bagaimanapun, lebih banyak mertua yang membantu anak-anak dan menantu dalam urusan rumah tangga mereka. Ada yang tanpa ditolong membantu menjaga cucu ketika anak dan menantu pergi bekerja. Ada juga yang turut menghulurkan bantuan wang ringgit kepada anak menantu tanpa dipinta.

Apapun sebagai menantu, andalah yang harus berusaha menjalinkan hubungan mesra bersama mertua. Banyak kebaikan yang boleh diperolehi. Malah taraf mertua adalah sama seperti ibu bapa kita sendiri. Oleh itu haruslah kita hormat, patuh dan menjaga hati mereka setiap masa.

Terdapat pelbagai cara untuk mewujudkan hubungan baik dengan mertua, antaranya ialah:

  • Ketepikan sikap buruk sangka – ketepikan stigma biasa masyarakat bahawa semua mertua tidak menyukai menantu mereka. Cuba jauhkan sikap prejudis dan dari awal cuba bina hubungan mesra dengam mertua
  • Layan mertua seperti ibu bapa sendiri – Layan mertua dengan penuh hormat sepertimana kita melayani ibu bapa sendiri. Insya-Allah, hubungan mesra antara menantu dan mertua lebih mudah terjalin
  • Bertolak ansur dan mengambil hati – Walaupun urusan rumah tangga adalah urusan pasangan, namun tidak salah untuk mendengar nasihat dari mertua. Bertolak ansur bagi mengambil hati mertua. Ikutkan segala cadangan selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak dan bersesuaian dengan anda. Jika perlu menolak cadangan mereka, tolaklah dengan lembut supaya tidak mengecewakan dan mengecilkan hati mereka
  • Selalu berkunjung ke rumah mertua – Usah tunggu giliran hari raya sahaja untuk pulang ke rumah mertua. Ada masa terluang, bawalah anak-anak untuk berkunjung ke rumah mereka. Selain dapat menziarah mereka, anda juga dapat mengeratkan lagu hubungan dengan mereka

Mendirikan rumah tangga bukanlah suatu perkara yang mudah, apatah lagi untuk menguruskannya. Pasangan bukan sahaja hanya berkahwin dengan pilihan hati tetapi seluruh keluarga mereka. Hubungan yang baik dengan mertua ini secara tak langsung dapat membantu pasangan menjalinkan ikatan rumah tangga yang bahagia.